Kari kepala ikan 'padu' di Cosmo Hotel, ruang makan pun lebih selesa... jangan risau harganya mampu bayar! - Selera | mStar

Kari kepala ikan 'padu' di Cosmo Hotel, ruang makan pun lebih selesa... jangan risau harganya mampu bayar!

Kari kepala ikan yang dimakan bersama taugeh goreng dengan ikan masin dan ayam goreng berempah memang cukup enak. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA

KEBIASAANNYA jika teringin hidangan kari kepala ikan yang enak pastinya kedai mamak menjadi pilihan namun pernahkah anda terfikir untuk menikmati hidangan itu di sebuah hotel bertaraf empat bintang?

Perjalanan 30 minit penulis dengan menaiki LRT dari stesen Bandar Kinrara 5 (BK5) ke stesen Masjid Jamek demi merasai hidangan itu di Hotel Cosmo Kuala Lumpur ternyata berbaloi.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidangan signature Nasi Mandy, BBQ Turki pemikat selera di Restoran Sahala

Mana tidaknya - hidangan itu bukan sahaja sedap menjilat hari, sebaliknya penulis 'kenyang' melihat pemandangan Kuala Lumpur dari Cafe Mint di hotel berkenaan sekali gus menjadikannya satu pengalaman berbeza berbanding menikmati semangkuk kari kepala ikan di restoran mamak.

Paling penting, harganya juga sangat berbaloi malah lebih murah berbanding di sesetengah restoran 'biasa' iaitu RM50 untuk dua orang.

Chef Mohd Fazi individu bertanggungjawab menyediakan hidangan kari kepala ikan. 

Menyentuh mengenai hidangan tersebut, kuah karinya yang pekat serta ikan yang segar memang membuatkan ia 'padu' dan tidak mudah dilupakan!

Kari stail utara itu memang cukup enak apatah lagi ia dimasak segar oleh Eksekutif Sous Cef hotel berkenaan, Mohd Fazi Ramli.

Memilih kepala ikan tenggiri sebagai protein utama kari tersebut, penulis yang pada awalnya makan menggunakan sudu beralih pula ke tangan kerana benar-benar ingin merasai keenakannya dan beberapa jam selepas meninggalkan kafe itu, masih terhidu bau kari yang melekat di tangan.

Istimewanya kari kepala ikan ini, Mohd Fazi memberitahu dia mencampurkan santan dan susu bagi membangkitkan aroma dan rasa lemak pada masakan itu.

Taugeh goreng dan ayam goreng berempah pelengkap hidangan kari kepala ikan. 

Bagaimanapun, rasanya tidak memuakkan malah anda akan menyangka kari itu seperti kari mamak yang tidak menggunakan santan ditambah dengan 'kemeriahan' sayur-sayuran seperti kacang bendi, tomato dan taufu.

Ikan yang saiz sederhana yang digunakan juga cukup manis dan kata Mohd Fazi itu adalah antara rahsia bagi menyedapkan kari kepala ikan.

"Ada sesetengah restoran mereka gemar menggunakan kepala ikan yang besar tetapi biasanya rasanya kurang enak dan manis berbanding dengan kepala ikan bersaiz kecil dan sederhana," ujarnya yang mempunyai 19 tahun pengalaman dalam bidang kulinari.

Selain ikan tenggiri, pelanggan juga boleh memilih kepala ikan merah untuk hidangan tersebut.

Suasana mewah di Cafe Mint.

Tapi nanti dulu. Hidangan itu juga turut didatangkan dengan taugeh goreng dengan ikan masin, sambal belacan dan acar sayur.

Jika anda mahu menambah hidangan apa kata cuba juga ayam goreng berempah serta jus Calamansi bersama plum yang hanya berharga RM8.

Jadi apa kata, jangan malu, jangan segan jom cuba sendiri keenakan kari kepala ikan itu dengan penuh gaya dan yang penting dalam suasana selesa!

Tempahan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi 03-2030 1888 atau 016-203 1797 atau emel ke info@cosmohotelkl.com.

kari kepala ikan , Cosmo Hotel