suria

Usah pening tak boleh rentas negeri, di Selangor pun banyak tempat menarik boleh makan angin! Kunjungi 5 lokasi ini

DALAM meraikan sambutan hari kemerdekaan negara yang disambut pada Ogos, Tourism Selangor melancarkan Kempen Hari Kebangsaan - Tourism Selangor Prihatin sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ke-58 bermula 13 Ogos hingga 16 September 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini 10 tarikan terbaharu di Selangor yang harus dilawati pelancong pasca pandemik Covid-19

Selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, kempen ini dilancarkan di semua platform rasmi Tourism Selangor termasuk Instagram, Twitter, Facebook, TikTok, YouTube dan laman web rasmi Selangor.Travel.

Sudah tentunya tujuan utama kempen ini bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pengguna media sosial khususnya penggemar aktiviti pelancongan.

psoter kempen

Kempen Hari Kebangsaan - Tourism Selangor Prihatin bangkit semangat patriotisme.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, antara intipati kempen tersebut adalah posting media sosial termasuk siri Imbasan Sejarah Sekitar Negeri Selangor selain penghasilan artikel khas sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Bukan itu sahaja, Azrul memberitahu perkongsian Jadual Perjalanan Jejak Warisan Sekitar Negeri Selangor dan segmen video berkonsepkan trivia sejarah di aplikasi TikTok turut dibuat bagi menarik generasi baharu.

”Kempen Hari Kebangsaan - Tourism Selangor Prihatin ini menampilkan pelbagai bahan promosi serba interaktif serta dilihat mampu membawa masyarakat menghayati sejarah dan menikmati destinasi pelancongan di Selangor secara maya," katanya.

Justeru, Kempen Hari Kebangsaan - Tourism Selangor Prihatin, Tourism Selangor membawa anda menelusuri 1,001 kisah sejarah negeri Selangor menerusi pelbagai destinasi termasuklah;

Kuala Kubu Bharu by Tourism Selangor.v1

Terdapat pelbagai tarikan di Kuala Kubu Bharu yang mungkin ramai tidak mengetahuinya.

1. Pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor

Pekan Kuala Kubu Bharu telah ditadbir oleh Residen British yang terawal seperti Presiden Frank Athelstane Swettenham. Di sini juga telah didirikan sebuah kubu pertahanan Raja Mahadi dalam Perang Saudara yang terjadi pada tahun 1867-1874.

Pekan ini juga pernah ditimpa bencana bah yang teruk yang mana mengikut legenda adalah disebabkan tindakan seorang Pegawai Inggeris, Cecil Ranking yang telah membunuh buaya putih yang dianggap sebagai penjaga penduduk Kuala Kubu yang lama.

Terdapat beberapa destinasi di sini, antaranya Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu di mana anda boleh mendalami kisah sejarah pekan ini.

Bangunan-bangunan lama yang dibina dari zaman pemerintahan British seperti balai polis, pejabat pos dan juga menara jam juga masih berdiri teguh di sini.

Pihak Berkuasa Tempatan sedang dalam usaha untuk memetakan Pekan Kuala Kubu Bharu sebagai Tapak Warisan Dunia oleh The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (Unesco) untuk lebih dikenali di persada antarabangsa.

Jalan Tunku Kelana by Tourism Selangor.v1

Jalan Tunku Kelana di Klang yang mempunyai pelbagai sejarah tersendiri.

2. Bandar Diraja Klang

Klang, yang merupakan bandar tertua di Malaysia juga mempunyai nilai sejarah tersendiri. Klang telah dipilih menjadi ibu kota negeri Selangor selepas kemangkatan Sultan Muhammad sebelum dipindahkan sekali lagi ke Kuala Lumpur.

Selain menjadi Bandar Diraja yang menempatkan Istana Sultan Selangor, Klang juga adalah bandar yang dulu pernah menjadi kawasan pertempuran buat Perang Saudara yang berlaku antara Raja Mahadi dan Raja Sulaiman.

Bandar ini juga mempunyai banyak bangunan yang dibina pada zaman British antaranya Chennai Silk Palace Klang, Church of Our Lady Lordes dan Gedung Raja Abdullah.

Bangunan-bangunan ini kemudian telah dijadikan lokasi singgahan dalam Program Royal Klang Town Heritage Walk Tour untuk para pengunjung melawat kawasan bersejarah di sekitar bandar ini.

Terdapat tempat ikonik lain yang boleh dilawati di Bandar Diraja Klang seperti Jambatan Kota yang dibina pada tahun 1957 dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang menempatkan koleksi peribadi Kesultanan Melayu Selangor.

Pekan Lama

Sejarah mengenai Pekan Lama Kuala Selangor ada dipaparkan di Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.

3. Pekan Lama Kuala Selangor

Pekan Lama Kuala Selangor mula diduduki oleh orang laut yang menyara hidup dengan menangkap ikan pada kurun ke-17 Masihi. Penduduk awal yang kebanyakannya terdiri dari kaum Bugis ini juga dikatakan diketuai oleh seorang wanita Bugis yang kaya dengan sifat kasih sayang.

Terdapat teluk yang dinamakan Teluk Penyamun kerana ianya merupakan lokasi yang sering menjadi tempat kegiatan menyamun. Jeram, sebuah mukim di Kuala Selangor juga dikatakan menjadi tempat Sultan Mansur Syah Melaka yang memerintah dari 1459 hingga 1477 menabalkan Putera Baginda; Paduka Seri Cina.

Untuk merungkai sejarah Pekan Lama Kuala Selangor, anda boleh lawati Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor untuk mendalami lebih lanjut kisah sejarah Pekan ini.

Bukit Malawati juga antara lokasi yang boleh dikunjungi untuk menjejaki semula tinggalan sejarah seperti Batu Hampar, Perigi Beracun dan Meriam Penggawa yang setiap satunya mempunyai kisah unik yang tersendiri.

Kajang

Kajang juga menawarkan Program Jejak Warisan yang tersendiri khusus untuk peminat sejarah dan pengunjung untuk menerokai peristiwa dan tinggalan sejarah di Kajang.

4. Bandar Kajang

Kajang adalah sebuah mukim yang terdapat di Daerah Hulu Langat, Negeri Selangor. Bandar Kajang yang telah berusia lebih 200 tahun ini dahulunya merupakan kawasan melombong bijih timah yang dimulakan oleh masyarakat Mendaling, Rawa, Minangkabau dan sedikit orang Kampar dari Sumatera yang telah berhijrah ke Daerah ini.

Kajang juga mempunyai bangunan-bangunan tinggalan dari zaman lalu seperti Kuil Shen Sze She Yar yang sudah berusia lebih 120 tahun. Bangunan-bangunan bersejarah di Kajang juga termasuk Pejabat Pos Lama, Masjid Jamek Kajang dan juga kedai biskut yang rata-rata bangunan ini semua dibina lebih 100 tahun yang lalu.

Kajang juga menawarkan Program Jejak Warisan yang tersendiri khusus untuk peminat sejarah dan pengunjung untuk menerokai peristiwa dan tinggalan sejarah di Kajang. Selain itu, di sini juga terdapat Bangunan Tan Boon Chia dimana ia merupakan sebuah bangunan yang dahulunya merupakan kediaman buat pemilik lombong sebelum menjadi Ibu Pejabat bagi tentera Jepun.

Kajang juga mempunyai Pusat Warisan Kajang yang menempatkan 300 koleksi artifak, alatan dan juga dokumen sejarah khususnya yang berkaitan dengan Bandar Kajang.

Jugra

Jugra juga mempunyai tinggalan sejarah dari zaman kesultanan Sultan Abdul Samad.

5. Pekan Jugra

Jugra yang dahulu dikenali sebagai Bandar Temasya mula dibuka pada abad ke-18 oleh orang Bugis yang datang dari Johor untuk kegiatan berdagang dengan Negeri Melaka.

Jugra juga pernah menjadi kawasan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor selepas perpindahan dari Kuala Selangor pada tahun 1859 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad. Jugra terletak di lokasi yang strategik dan selamat sebagai kawasan penempatan, perniagaan dan perdagangan.

Jugra juga telah menjadi tumpuan pedagang untuk berlabuh dan mengangkut hasil bijih timah, Dikatakan juga Hang Tuah pernah menjejakkan kaki ke sini untuk tujuan menyabung ayam di Bukit Jugra.

Jugra juga mempunyai tinggalan sejarah dari zaman kesultanan Sultan Abdul Samad seperti Istana Long Puteri dan Istana Jugra yang pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Abdul Samad daripada tahun 1859 hingga 1898.

Muzium Insitu Jugra yang dahulu merupakan sebuah Balai Polis, mahkamah dan juga lokap, adalah tempat yang terbaik untuk selami sejarah Jugra dengan lebih lanjut. Jangan lupa untuk singgah ke Istana Bandar Jugra dan Masjid Alaeddin semasa anda berkunjung ke Pekan ini.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai destinasi bersejarah di Selangor, layari Selangor.Travel atau dapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke negeri Selangor pada masa hadapan dengan mengikuti kemas kini Tourism Selangor di Instagram, Twitter, Facebook, TikTok, YouTube. #ImagineNowExperienceSoon

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain