suria

Warna-warni Kampung Pelangi tarikan terbaharu destinasi percutian keluarga di Selangor

Kampung Pelangi Kuala Selangor menawarkan percutian yang menarik untuk seisi keluarga.

PASTI ada antara kita yang pernah mendengar tentang kisah sebuah kampung di Semarang, Selatan Indonesia yang dahulunya tiada tarikan dan hanyalah sebuah lokasi biasa.

Namun siapa sangka kampung itu kini menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong dari seluruh dunia yang tertarik dengan keunikannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan, ambil gambar, shopping! Ada 9 lokasi best di Klang yang boleh anda lawat dalam masa sehari

Kampung Pelangi yang terletak di Randusari, Jawa Tengah ini cukup menarik dengan hampir keseluruhan bangunan dan landskapnya dicat dengan pelbagai warna persis pelangi.



Bangunan dan landskap yang dicat degnan pelbagai warna cukup menarik.

Tapi nanti dulu! Kita mungkin tidak boleh ke luar negara ketika ini akibat pandemik namun di Kuala Selangor sendiri terdapat lokasi mirip seperti di Indonesia!

Kampung Pelangi Kuala Selangor (KPKS) di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Selangor, bakal menjadi tarikan pelancong yang gemarkan keunikan serta pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Berinspirasikan Kampung Pelangi di Indonesia, Korea dan Taiwan, KSCC diusahakan oleh seorang pendakwah dan penulis buku yang juga Pengarah Urusan Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC), Ustaz Kamil Sidek.



Kanak-kanak boleh bermain dengan haiwan yang terdapat di zoo mini.

Kamil ketika dihubungi mStar memberitahu, KPKS sebenarnya sudah wujud sejak 2015 yang asalnya adalah sebuah tapak kem untuk pelbagai aktiviti seperti kem kepimpinan pelajar, kem motivasi, hari keluarga dan sebagainya.

Bagaimanapun kata Kamil, ketika negara dilanda wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, beliau mengambil keputusan untuk menaik taraf tapak yang berkeluasan tiga ekar tersebut.

"Kami membina sebuah zoo mini dengan membawa pelbagai binatang seperti rusa, kuda, ostrich, iguana, kambing, burung dan sebagainya.



Pengunjung boleh memilih untuk menginap di Hobbitstay.

"Kewujudan zoo mini ini sebagai menambah aktiviti sedia ada serta membolehkan keluarga yang datang bersama anak-anak mendekati haiwan ini dengan lebih dekat," katanya.

Jelasnya, idea mengecat bangunan dan landskap di KPKS dengan pelbagai warna selepas mendapat inspirasi dari Kampung Pelangi lain di luar negara termasuk di Indonesia.

Kamil juga memberitahu, pihaknya turut bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang memberi bantuan untuk membeli cat.



Pemandangan indah di Kampung Pelangi Kuala Selangor.

"Kos membeli cat sekitar RM5,000 dan kami menggunakan cat minyak dan cat air bagi membolehkan ia tahan lebih lama.

"Boleh dikatakan hampir semua kawasan di tempat ini berwarna-warni dan cukup menarik perhatian dan Alhamdulillah kerjasama daripada ahli parlimen Kuala Selangor merealisasikan projek ini," ujarnya yang mesra disapa Ustaz Kay.

Tidak hanya memfokus kepada warna, Kamil memberitahu KPKS juga turut menitikberatkan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga malah pelancong boleh menginap di situ.



Antara tempat menarik di Kampung Pelangi Kuala Selangor.

Di situ pengunjung boleh memilih untuk menginap di beberapa penginapan pelbagai jenis yang cukup menarik.

Tidak hanya menginap, Kamil memberitahu sebahagian wang bayaran tiket masuk, sewaan bilik penginapan dan bayaran pakej akan diperuntukkan untuk kelestarian Pondok Balai Ilmu (PBI).

"PBI menyediakan kelas pengajian Iqra' dan al-Quran untuk kanak-kanak, pengajian Fiqh Muslimat dan pengajian Daurah Kitab untuk umum secara percuma kepada masyarakat setempat.



Ustaz Kay berharap Kampung Pelangi Kuala Selangor dapat menjadi destinasi pilihan percutian domestik keluarga.

"Ia adalah sebagai salah satu usaha bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat dan sebahagian caj dikenakan kepada pengunjung akan disalurkan kepada PBI," katanya.

Sementara itu, Kamil memberitahu KPKS akan dibuka kepada orang ramai bermula 5 Mac (Jumaat) ini selepas kerajaan mengumumkan PKP di Selangor diganti kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 18 Mac depan.

Kamil memberitahu telah menjadi hasratnya untuk melihat KPKS sebagai sebuah destinasi sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama keluarga.



Antara aktiviti riadah yang boleh dilakukan.

"Sudah tentu dalam suasana pandemik ini, pihak kami mengutamakan keselamatan pengunjung serta melakukan SOP ketat yang disarankan kerajaan.

"KPKS bukan sahaja untuk keluarga beriadah tetapi ia juga sumber rezeki untuk masyarakat setempat yang mana kebanyakan pekerjanya adalah penduduk di kawasan ini," katanya.

Apakah keistimewaan dan kelebihan KPKS berbanding Kampung-kampung Pelangi lain yang telah ada di seluruh dunia?

1) Boleh melawat dan menginap pelbagai jenis penginapan yang ada di KPKS seperti Homestay, Busstay, Cabinstay, Tubestay, Villastay, Arabianstay dan Hobbitstay.



Santai di hadapan unggun api pada waktu malam.

2) Ada zoo mini pelbagai haiwan seperti rusa, kuda, ostrich, iguana, angsa, kambing, burung, ayam, mereka, kura-kura dan sebagainya.

3) Pelbagai aktiviti terdapat di KPKS selain melihat warna warni pelangi pada bangunan seperti Yoyocart, Archery, Pet Feeding, Keretapi Drum ATV, Soopa Doopa, Trampoline, memancing, bermain bola sepak, BBQ dan berehat di buaian hammock.

4) Kampung Pelangi Kuala Selangor juga berfungsi sebagai tapak campsite untuk aktiviti kokurikulum sekolah seperti kem kepimpinan pelajar, kem motivasi, team building, hari keluarga dan sebagainya.

5) Terdapat juga Pengajian Fiqh Muslimat dan Daurah Kitab untuk umum yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPKS.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain