suria

Menara Kuantan 188 kedua tertinggi dalam Malaysia, tarikan terbaharu di Pahang

Menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur ini direka untuk menjadi tarikan pelancong utama bagi pelancong tempatan dan asing.

NAMPAKNYA selepas ini ada alasan untuk berkunjung ke Kuatan, Pahang memandangkan terdapat tarikan terbaharu iaitu Menara Kuantan 188.

Menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu direka untuk menjadi tarikan utama bagi pelancong tempatan dan asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak terserempak dengan bintang Kpop? Ketahui 5 lokasi popular di Korea Selatan ini

Menerusi dek tontonan menara yang terletak 92 meter dari atas tanah, pengunjung bakal menikmati pemandangan 360 darjah bandar Kuantan dan Sungai Kuantan yang mempesonakan.

Tarikan lain yang terdapat di menara tersebut termasuk sebuah restoran pada ketinggian 98 meter yang akan dibuka kelak, sebuah dek pemerhatian terbuka, jejantas udara dan pelantar terjunan berpandu dari aras 104 meter.

Para pengunjung yang menggemari aktiviti lasak boleh melakukan pendakian tiang pada ketinggian 160 meter di puncak keluli setinggi 66 meter.

Pembinaannya bermula pada Ogos 2017 dan siap pada September tahun lalu manakala Sijil Penyiapan dan Pematuhan dikeluarkan pada November 2020.



Pengunjung bakal menikmati pemandangan 360 darjah bandar Kuantan dan Sungai Kuantan yang mempesonakan.

Menara Kuantan 188 adalah mercu tanda strategik yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang.

Menara tersebut telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang pada bulan Disember tahun lalu.

Menara Kuantan 188 adalah sebahagian daripada siri pembangunan untuk menambah baik Kuantan Waterfront, sebuah aset utama dan warisan budaya yang akan meningkatkan tarikan pelancongan bandar di kawasan ini.

Selain menara tersebut, komponen lain di dalam projek Kuantan Waterfront termasuk Kuantan Esplanade, Mercu Junjung Duli, Laman Teruntum, hutan simpan bakau dan Serambi Teruntum, sebuah pusat sehenti untuk produk PKS dari Pahang.

Destinasi-destinasi ini akan menjadi wadah bagi rakyat dan pengusaha tempatan untuk mendapat manfaat daripada industri pelancongan.

Sementara itu, Jambatan Putra pula adalah jambatan baharu yang merentasi Sungai Kuantan dari Tanjung Lumpur ke Kemunting.



Pembinaan bermula pada Ogos, 2017 dan siap pada September tahun lalu.

Projek ini yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra di Tanjung Lumpur. Ia akan meningkatkan akses dan mengatasi kesesakan jalan raya di Kuantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pembangunan projek Kuantan Waterfront adalah sebahagian daripada stategi keseluruhan ECERDC untuk merancakkan sektor pelancongan serta meningkatkan lagi minat pelabur ke kawasan-kawasan sekitarnya.

Ini katanya akan mewujudkan aktiviti-aktiviti limpahan sosioekonomi yang mewujudkan impak positif serta pertumbuhan seimbang dan inklusif kepada rakyat.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan pembukaan Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra pada malam Ahad lalu secara maya.

Manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Raja Pahang mencemar duli menghadiri majlis pembukaan tersebut.

Turut hadir adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Bersar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain