suria

Nak terserempak dengan bintang Kpop? Ketahui 5 lokasi popular di Korea Selatan ini

Pemandangan indah di Sungai Han menajadi tumpuan pelancong dan bintang kpop.

SEKIRANYA pandemik sudah berakhir, pasti ramai daripada kita yang ingin melancong ke luar negara, bukan?

Korea Selatan sudah pasti antara negara pilihan ekoran gelombang hallyu daripada drama bersiri dan bintang Kpop yang menjadi kegilaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Malaysia destinasi halal No. 1 pilihan pelancong, rancang percutian selepas pandemik berakhir

Kajian Badan Pelancongan Korea Selatan (KTO) mendapati pelancong yang datang ke negara itu kerana 'gilakan' budaya Kpop adalah sebanyak 53 peratus sepanjang 2019.

Maka tidak hairan banyak tempat di Korea Selatan yang menjadi kegilaan pelancong termasuk lokasi penggambaran drama, filem termasuk pejabat pengurusan artis.

Bagi yang merancang berkunjung ke Korea Selatan dengan harapan berselisih bahu dengan anggota BTS, Blackpink atau pelakon seperti Kim Seon-ho atau Bae Suzy, berikut adalah lima kawasan yang harus anda kunjungi nanti.

1. Gangnam

Kalau ke Seoul, tak lengkap rasanya jika tidak ke Gangnam iaitu lokasi pelbagai agensi pengurusan artis berada termasuk SM Entertainment, FNC Entertainment, Big Hit Entertainment dan Around Us Entertainment.

Untung nasib, dapat bertemu dengan bintang kesayangan anda meskipun hanya dapat lihat daripada jauh.

Di Gangnam juga banyak lokasi yang didedikasikan kepada budaya Kpop seperti K-Star Road Apgujeong Rodeo - anda berpeluang berfoto bersama patung beruang yang mewakili kumpulan Kpop popular seperti SHINee, VIXX, INFINITE, EXO, Big Bang, BTS dan sebagainya.

2. Itaewon

Itaewon adalah lokasi terkenal dalam kalangan pelancong beragama Islam memandangkan di sini terdapat pelbagai restoran menyediakan makanan halal, malah jangan terkejut kalau terjumpa restoran menyediakan hidangan Malaysia.

Tetapi di kawasan ini juga, terdapat pelbagai kafe dan butik yang menjadi lokasi lepak selebriti terkenal seperti Nicole KARA, Jay Park dan Key SHINee.

Mana tahu, sambil beratur membeli kebab, berselisih bahu dengan Lisa Blackpink?

3. Hongdae (Mapo-gu)

Hongdae adalah lokasi tumpuan pelancong memandangkan di kawasan ini terdapat pelbagai restoran, kafe serta butik yang menawarkan barangan dengan harga murah.

Kawasan ini juga merupakan tempat terletakknya agensi YG Entertainment (label muzik bagi nama besar seperti Big Bang, 2NE1, Blackpink).

Jika bertuah anda dapat menonton rakaman program Mnet M! Countdown dan The Show yang sering diadakan di Hongdae.

Alang-alang sudah berada di Hongdae, berkunjung juga ke Sungai Han di mana, banyak artis popular pernah memberitahu lokasi itu sering menjadi tempat mereka menenangkan fikiran.

4. Yeouido

Digital Media Center Station yang terletak di Yeouido sering menjadi tumpuan peminat Kpop kerana ramai artis sering keluar masuk ke stesen itu untuk rakaman program hiburan.

Jika bertuah, mana tahu dapat menyaksikan rakaman program KBS Music Bank yang cukup popular dalam kalangan peminat.

5. Gangdong

Gangdong adalah lokasi popular selebriti membuka restoran dan kafe, salah satunya adalah Viva Polo milik anggota kumpulan EXO, Chanyeol.

Pelakon Park Shin Hye juga sering membantu menguruskan kafenya Little Tin Drums dan ramai peminat berkesempatan bergambar dengannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain