suria

Tiada lagi kemeriahan di Phuket, kini digelar 'pulau berhantu'!

Pantai di Patong lenggang tanpa pelancong.

SEBELUM ini Pulau Phuket, Thailand antara destinasi pilihan pelancong termasuk dari Malaysia yang ingin bersantai di pantai serta merasai kemeriahan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Namun kini, suasana di pulau terkenal itu bertukar sepi malah penari 'go-go' dilihat hanya duduk bermain telefon di bar kosong ekoran ketiadaan pelancong kesan daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 masih belum reda, Bali hanya catat 22 pelancong Ogos lalu banding 616,000 bulan sama tahun lalu

Kolam renang, pantai yang biasanya sesak dengan pengunjung kini lenggang berbanding tahun lalu lebih daripada sembilan juta pelancong melawat Pulau Phuket.



Biasanya Bangla Walking Street dipenuhi pelancong namun ia kini bagaikan 'pulau berhantu'.

Ia adalah destinasi kedua paling popular selepas Bangkok di Thailand.

Kini hampir semua 3,000 hotel di pulau peranginan itu ditutup dan bandar utama Patong telah bertukar menjadi 'pulau berhantu'.

Sehingga kini, Thailand masih belum pulih daripada wabak tersebut meskipun angka kes dicatatkan semakin rendah.

Bagaimanapun keputusan kerajaan untuk terus melawan virus itu telah memberi tamparan hebat kepada sektor ekonomi yang dianggarkan akan menguncup sehingga sembilan peratus manakala jutaan rakyatnya bakal menganggur.

Sebelum ini, 80 peratus keuntungan Pulau Phuket adalah hasil daripada aktiviti pelancongan dimana terdapat 300,000 yang bekerja di sana.



Pemandangan atas di Karon Beach yang tiada pengunjung.

Malah sejak Covid-19 melanda Thailand, puluhan ribu telah hilang pekerjaan selain selebihnya terpaksa dipotong gaji.

Bagi pemilik sebuah bar yang dikenali sebagai Poi, dia memberitahu sebelum pandemik dia mampu memperoleh pendapatan 100,000 baht (RM13,280) sebulan.

Dengan perniagaan yang merundum, Poi kini terpaksa menjual makanan ringan menggunakan troli di pinggir jalan dan hanya menjana RM12.50 sehari bagi menampung kos menyara keluarga dan persekolahan anak-anaknya.

"Kami hanya berjuang untuk bertahan," katanya kepada AP.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain