suria

Omaru mungkin bandar kecil di Jepun tapi begitu mempersonakan!

Istana Kushima yang terletak di atas bukit Taman Omura yang dibina pada 1599. - Foto BERNAMA

OMURA sebuah bandar kecil dalam Wilayah Nagasaki di Pulau Kyushu, Jepun, begitu mempersonakan dek keindahan hamparan bunga-bungaan dan panaroma bentuk muka bumi yang pastinya memukau setiap pelawat.

Omura yang bermaksud ‘kampung besar’ dalam bahasa Jepun sudah bertapak sejak lebih 900 tahun lalu. Bermula pada abad ke-15, Omura sudah pun terkenal dan menjadi antara pelabuhan persinggahan terawal orang Eropah yang belayar ke Jepun.

Ini berikutan pembukaan pelabuhan berhampiran Teluk Omura oleh Sumitada Omura. Sumitada seorang panglima samurai yang juga daimyo (pembesar) beragama ​​​​​​Kristian pertama di Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN: Uzbekistan kaya sejarah tamadun Islam

Meskipun bermula sebagai destinasi kemasukan terawal pengaruh Eropah berikutan pengembangan perdagangan dan kegiatan mubaligh Kristian pada abad ke-16, hakikatnya, Omura agak mundur berbanding bandar seperti Kyoto, Osaka atau jiran terdekatnya, Nagasaki.

Di sebalik keindahan serta khazanah sejarah, tidak ramai pelancong asing berkunjung ke bandar ini dan jika adapun hanya pelawat tempatan dari kawasan lain di Jepun.

Pokok Sakura yang cukup indah di Taman Omura. 

Mengimbau pengembaraan saya ke bandar ini April lepas, saya menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo selama dua jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nagasaki di sini.

Perjalanan ke hotel bajet yang banyak terdapat berdekatan stesen keretapi Omura, mengambil masa kira-kira 15 minit jika menaiki bas atau teksi dari lapangan terbang.

Ketika itu, Omura melalui tempoh musim bunga dan hanya saya pelancong berasal dari Malaysia.

Saya mendapati agak sukar bagi individu untuk mengembara secara sendirian di bandar ini, kecuali individu itu memahami sedikit bahasa Jepun.

Taman Omura dan Istana Kushima

Antara tarikan pelancong di Omura ialah Taman Omura yang mempunyai lebih 2,000 pokok sakura dan 300,000 pokok bunga iris. Menariknya, taman ini merupakan antara 100 destinasi popular di Jepun bagi menikmati keindahan bunga sakura yang kembang mekar.

Stesen Keretapi Omura yang terletak 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nagasaki.

Di puncak bukit taman itu pula, terdapat kesan runtuhan istana Kushima yang dibina pada 1599 oleh kaum kerabat Omura yang sangat berkuasa ketika itu. Malangnya, istana ini telah musnah semasa revolusi Meiji pada 1871 dan kini hanya tinggal struktur batuan unik.

Tidak lengkap sekiranya melawat Jepun dan tidak menikmati makanan tradisinya sushi. Sushi Omura yang diperkenalkan semasa abad ke-15, merupakan makanan simbol kemenangan kaum kerabat Omura dalam peperangan. Sushi Omura boleh didapati di sepanjang gerai makan menuju ke istana lama itu.

Sushi Omura istimewa berbanding sushi lain yang ada di Jepun. Lapisan telur dadar pada sushi Omura berwarna-warni, mengandungi cendawan, cuka, lobak merah dan bahan-bahan lain.

Sambil menikmati keenakan sushi Omura dari puncak bukit ini, anda dapat melihat pemandangan menakjubkan Teluk Omura, berhampiran istana Kushima.

Kelihatan di seberang Teluk Omura, Lapangan Terbang Nagasaki, iaitu lapangan terbang pertama di dunia dibina di atas tanah yang ditambak atas laut.

Jika ke Omura jangan lupa cuba luncur layar di Kotohira Skypark. 

Aktiviti luncur layar di Kotohira Skypark harus dicuba!

Pemandangan indah bandar Omura juga boleh diterokai melalui aktiviti luncur layar di Kotohira Skypark yang terletak di puncak Gunung Kotohira.

Terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari stesen kereta api Omura, Kotohira Skypark yang berada pada ketinggian 330 meter dari aras laut, menawarkan pemandangan indah 360 darjah bandar Omura dan Teluk Omura.

Ketika musim bunga, kira-kira 200 pokok bunga sakura di taman ini kembang dengan mekar sepenuhnya.

Pemandangan bunga-bungaan berwarna-warni bak hamparan permaidani berlatarbelakangkan Gunung Tara, ternyata sungguh memukau.

Seorang mubaligh Kristian warga Amerika Syarikat dari Virgina, Cathy Garrott yang datang ke Omura, 38 tahun lalu menyifatkan taman tersebut sebagai tempat yang sesuai untuk pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.

Momumen empat kanak-kanak lelaki dari 'Tensho Embassy' yang berhijrah ke Eropah untuk belajar muzik dan teknologi.

Menurut beliau, pengunjung pasti teruja untuk mencuba sesuatu yang berbahaya dengan meluncur layar melintasi lereng curam Gunung Kotohira.

Garrott, yang juga jurupandu saya semasa lawatan seminggu di Omura berkata, biasanya peluncur layar akan mendarat di dataran luas di kaki Gunung Kotohiradake, iaitu berhampiran persimpangan Omura di Lebuhraya Nagasaki.

"Selain pelancong dewasa, taman ini juga turut menarik pengunjung kanak-kanak yang gemar menaiki gelongsor sepanjang 99.9 meter,” katanya sambil menambah, taman ini terkenal dalam kalangan pelancong asing dek keindahan pokok bunga sakura yang menjadi sumber kekayaan semulajadi Jepun.

Pengaruh agama Kristian

Garrott berpindah ke Omura bersama-sama suaminya, Jackson M. Garrott, seorang pensyarah bahasa Inggeris, untuk menubuhkan gereja Shinsei No Sato di Omura.

Cathy Garrott berhijrah ke Omura sejak 38 tahun lalu. 

Garrot, 72, berkata pelawat dari pelbagai negara, seperti Taiwan, Hong Kong, Amerika Syarikat dan bahagian lain dari Jepun singgah ke gereja itu.

"Ada dalam kalangan pelawat ini mendapat  tahu mengenai gereja yang juga dikenali sebagai Home of New Life (rumah kehidupan baharu) melalui laman web," katanya yang kini memegang taraf penduduk tetap Jepun dan bekerja di perpustakaan awam. Sementara suaminya paderi di gereja itu.

Garrott turut melakukan kerja-kerja sosial dengan mengajar kanak-kanak tempatan kemahiran berbahasa Inggeris dan menjalankan kelas memasak.

Artikel Lain