suria

Pengalaman duit terbang belum sempat masuk ke Hat Yai, terpaksa bayar ‘denda’ kepada imigresen hanya kerana tak bawa pasport lama

Pasport lama milik isterinya yang dikongsi pemuda itu di Facebooknya.

JIKA anda bercadang untuk berkunjung ke Thailand dengan menaiki kereta, artikel ini mungkin sangat berguna.

Selesai membaca, anda mungkin terfikir betapa eloknya jika anda pergi bercuti ke sana menggunakan pesawat kerana ia lebih mudah dan selamat.

Baru-baru ini, seorang pemuda berkongsi pengalaman terpaksa membayar ribuan ringgit kepada pegawai imigresen Thailand kerana isterinya tidak membawa pasport lama bersama semasa memasuki sempadan negara itu dengan menaiki kereta.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ‘return ticket’! Pergi Seoul balik hari, dua sahabat terkilan dilayan macam Pati – “Dia tanya pergi Nami Island naik bas nombor berapa”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dilihat sebagai pelancong’, kisah 6 gadis bingung dihalang ke Perth dijawab Pesuruhjaya Tinggi Australia, “Malangnya Malaysia #1 dalam kategori ini”

"Tahun lalu (2018), saya dan isteri pergi ke Hat Yai, Thailand. Pasport isteri saya tamat tempoh, jadi kami pergi ke UTC untuk membuat pasport baharu," kata pemuda itu di Facebooknya.

Pada Disember 2019,  pasangan suami isteri ini mahu kembali ke negara gajah putih itu sekali lagi menggunakan kereta seperti yang dilakukan mereka sebelum ini.

Pintu sempadan kemasukan ke Malaysia-Thai.

Amat memeranjatkan apabila pemuda itu dimaklumkan isterinya tidak dibenarkan memasuki sempadan negara itu.

Jelasnya, pegawai imigresen itu memberi alasan bahawa isterinya tiada rekod meninggalkan negara itu buat kali terakhir iaitu pada 2018 dan telah melanggar undang-undang ditetapkan.

Meskipun berulang kali menyakinkan pegawai itu, pemuda tersebut berkata pegawai terbabit tetap mendakwa 'tiada rekod' isterinya keluar dari negara itu sebagaimana tertera dalam komputer.

Siapa yang akan membawa bersama pasport lama? Tambahan pula sudah lebih setahun, siapa ingat jika ada cop?

SUAMI.

Malah satu-satunya cara yang dapat membuktikan isterinya tidak melanggar undang-undang adalah dengan menunjukkan rekod keluar-masuknya ke negara itu melalui cop pasport lama.

Namun cara itu tidak masuk akal kerana isteri pemuda itu sudahpun memperbaharui pasportnya dan tidak membawa pasport lamanya bersama.

Cop keluar masuk isterinya ke Thailand yang tertera pada pasport lamanya.

"Siapa yang akan membawa bersama pasport lama? Tambahan pula sudah lebih setahun, siapa ingat jika ada cop?" kata pemuda itu.

Dakwa pemuda itu lagi, mereka hanya diberi tiga peluang oleh pegawai imigresen terbabit.

"Pertama denda kira-kira RM1,600. Kedua dihantar pulang dan ketiga tentunya semua orang tahu 'kaedah khas'," katanya.

Memandangkan sudah berada di sana, pemuda itu berkata semestinya dia tidak mahu isterinya pulang ke tanah air bersendirian dengan menaiki kereta.

Maka, pemuda itu memilih yang ketiga dan ia memerlukan dia membayar wang yang nilainya kurang sedikit daripada bayaran denda yang ditetapkan iaitu RM1,000.

Sebaik sahaja tiba di rumahnya, pemuda itu memeriksa pasport lama milik isterinya dan mendapati memang terdapat cop rekod keluar dari negara itu ketika kunjungan mereka pada 2018.

Namun malangnya ia sudah terlambat dan pemuda itu mengingatkan orang ramai supaya membuat persediaan dan pertimbangan sebelum memutuskan untuk masuk ke negara itu melalui kereta sendiri.

Artikel Lain