‘Tak dilihat sebagai pelancong’, kisah 6 gadis bingung dihalang ke Perth dijawab Pesuruhjaya Tinggi Australia, “Malangnya Malaysia #1 dalam kategori ini” - Destinasi | mStar

‘Tak dilihat sebagai pelancong’, kisah 6 gadis bingung dihalang ke Perth dijawab Pesuruhjaya Tinggi Australia, “Malangnya Malaysia #1 dalam kategori ini”

Nur Shazrin kecewa apabila mendakwa punca sebenar mereka dihalang terbang ke Perth tidak diberitahu dengan jelas dan secara profesional.

PESURUHJAYA Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski tampil menjawab dakwaan seorang gadis yang mendakwa dilarang menaiki penerbangan ke Perth, Australia semasa di pintu pelepasan di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) baru-baru ini.

Insiden membabitkan Nur Shazrin Zahari bersama lima lagi rakannya tular di Twitter sejak Selasa dan mendapat perhatian Goledzinowski, malam Khamis.

Goledzinowski menerusi Twitter rasminya berkata Pegawai Perhubungan Penerbangan (ALO) ditempatkan di lapangan terbang seluruh dunia untuk memastikan pelancong ke Australia memenuhi segala kriteria kemasukan yang ditetapkan.

"Saya tak boleh komen mengenai kes awak secara spesifik, tetapi kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Australia setiap tahun tanpa sebarang masalah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kawan solat, bunyi TV tiba-tiba makin kuat” - Bilik hotel usang di P.Pinang jadi igauan ngeri 3 gadis

ARTIKEL BERKAITAN: Popular tapi berisiko tinggi ditipu... Hati-hati ketika buat carian nama 6 negara ini di Google!

"Namun ada segelintir datang untuk bekerja secara haram atau tinggal lebih masa. Malangnya Malaysia kini #1 dalam kategori ini. ALO kami terlatih dan berpengalaman dalam mengesan individu ini untuk menghalang perkara ini berlaku," katanya.

Andrew Goledzinowski.

Menurut Goledzinowski, 'tiada sistem yang sempurna' tetapi pelaksanaan itu berkesan.

"Dan ia bukan mengenai 'profiling'. Buat masa ini Malaysia adalah satu daripada empat negara di Asia yang memperoleh visa dalam talian (ETA). Kami mahu mengekalkan status itu. Tetapi ia bermaksud kami perlu memberi perhatian kepada siapa yang datang ke Australia dan apa tujuan mereka," katanya.

Bagaimanapun kenyataan Goledzinowski mengundang pelbagai reaksi pengguna Twitter.

“Jadi, siapa yang seharusnya membayar ganti rugi/memulangkan duit yang sudah dibayar untuk percutian itu, tuan? Tidak murah bagi rakyat Malaysia. Tiba-tiba dihalang menaiki kapal terbang tanpa alasan," kata seorang pelayar Twitter.

Tweet Reen mendapat perhatian Goledzinowski yang juga Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

Dalam pada itu, Nur Shazrin yang menyedari maklum balas itu turut bertanya mengenai proses penyiasatan yang digunapakai pihak ALO terbabit untuk menentukan kesalahannya dalam tempoh singkat.

Namun pertanyaan itu tidak dijawab Goledzinowski.

Nur Shazrin atau lebih mesra disapa Reen ketika dihubungi mStar berkata hajat dia dan lima lagi rakannya untuk bercuti ke bumi kanggaru itu pada Jumaat lalu tidak kesampaian apabila mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya bekerja untuk imigresen negara itu.

Katanya, insiden berlaku semasa dia dan lima rakannya tiba di pintu pelepasan P6 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

"Sebelum tu semua smooth je. Bila tiba masa scan tiket saya kena tunjuk dengan security jadi saya kena duduk tepi bersama dengan empat kawan lain. Seorang kawan saya 'lepas' tapi dia pun kena sekali sebab dia bersama kami.

Posting Nur Shazrin tular di Twitter.

"Tak lama lepas tu kami didekati seorang aunty yang tak perkenalkan dirinya, dia terus ambil pasport dari tangan kami. Waktu tu kami semua jadi blur... sebab tu bila dia tanya kami pun jawab tergagap-gagap. Bukan apa kami takut bagi maklumat kepada orang asing.

"Bila dia tanya bawa duit berapa? Saya cakap AUD350 (RM997). Kemudian dia cakap mana cukup bawa pergi Australia sebab negara tu bukan macam Malaysia. Belum pun sempat saya beritahu had kad kredit saya (RM20,000) dia terus cut, cakap itu hanya awak dan bukan kawan-kawan awak," katanya.

Jelas gadis berusia 23 tahun itu, dia juga terkejut dengan kata-kata wanita itu yang didakwa bersikap tidak profesional.

Bila tanya apa kesalahan kami dia cuma cakap 'saya tidak lihat anda sebagai pelancong'. Dia cakap sebab kami tak bawa duit yang cukup.

NUR SHAZRIN ZAHARI.

"Saya pun tunjuklah tiket pergi balik sebab dia minta. Bila dia tengok tiket balik saya guna penerbangan berbeza dia ambil mudah perkara tu.

"Dia juga minta maklumat tempat penginapan. Saya tunjuk emel tapi dia dah macam endah tak endah. Itinerary yang kami buat sendiri pun dia tak nak tengok.

"Dia juga tuduh 'saya tahu ada sesuatu yang lain awak nak buat'. Bila saya tanya apa, dia kata 'saya tidak tahu tapi awak beritahu saya'. Cara dia tidak profesional langsung," dakwanya.

Reen dan rakan-rakannya kecewa kerana tidak dapat bercuti bersama-sama ke Perth.

Malah Nur Shazrin atau lebih mesra disapa Reen berkata mereka terkilan apabila wanita itu tidak mendedahkan punca sebenar mereka dilarang menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas kira-kira pukul 12.10 pagi, 2 Ogos lalu.

"Bila tanya apa kesalahan kami dia cuma cakap 'saya tidak lihat anda sebagai pelancong'. Dia cakap sebab kami tak bawa duit yang cukup.

"Base on itinerary duit yang kami bawa tu memang cukup tapi dia tak tengok pun itinerary tu. Lebih mengecewakan dia kata dekat staf AirAsia kami booking accommodation untuk sehari.

"Mungkin juga sebab dia tengok mostly kami fresh graduate jadi status sebagai pelajar sebab utama mereka tak bagi kami boarding," katanya.

Ekoran kejadian itu, graduan sebuah universiti awam di Sarawak itu mendedahkan setiap seorang daripada mereka mengalami kerugian sebanyak RM2,000.

"Sedihlah juga sebab tiket pergi balik burn macam tu je. Tempat penginapan yang kami dah bayar RM2,000 hanya dapat refund sebanyak RM200.

Rata-rata netizen mahukan penjelasan lanjut berhubung kejadian ini.

"Kiranya setiap seorang rugi dalam RM2,000. Memang terkilan sangat-sangat sebab aunty tu pun blah macam tu je dan biarkan kami terkontang-kanting.

"Keluarga kami pun terkejut sebab sebelum ni kami tak pernah kena macam ni. Lepas tu kami pun tukar plan bercuti ke Krabi untuk mengubat hati yang terluka," katanya.

Pada masa sama, Reen berharap agar insiden itu dapat menjadi pengajaran kepada orang lain yang berhasrat mahu melancong ke negara kanggaru itu.

"Kami pun banyak belajar daripada pengalaman ini. Sebelum pergi ke sana tu memang kena prepare betul-betul. Sebab ini pertama kali kena memang kami terkejut, tak expect langsung.

"Kami tahu peraturan nak masuk ke Australia ketat. Kami selalu melancong bersama pergi Bali, Krabi dan Korea tapi tak adalah sampai jadi macam ni, mungkin sebab tu kami ambil ringan tak prepare sangat.

"Jadi saya harap agar insiden ini boleh menjadi pengajaran kepada orang lain. Kesian pada mereka yang tak dibenarkan terbang hanya semata-mata kerana andaian palsu," katanya.

Antara komen netizen di posting Reen.

Sementara itu, seorang pengguna Twitter memberitahu wanita tersebut mungkin seorang profiler yang ditempatkan di KLIA2.

"Profiler memang ada dekat airport KLIA2. Terima kasih kepada kemunculan pemetik epal Malaysia di Australia. Kasihan perkara ini berlaku kepada anda.

"Sejujurnya saya fikir ia satu bentuk diskriminasi. Saya tak percaya mereka boleh buat begitu di negara kita," kata Grizzlysmores.

Perth , imigresen Australia , pasport , KLIA2 , visa

Artikel Lain