VM2020: Satu pakej pelancongan boleh lawat 3 atau 4 lokasi... berbaloi! - Destinasi | mStar

VM2020: Satu pakej pelancongan boleh lawat 3 atau 4 lokasi... berbaloi!

Syed Yahya (tengah) dan Pengarah Zoo Taiping & Night Safari Dr Kevin Lazarus (kiri) menunjukkan pakej pendidikan yang ditawarkan kepada pengunjung selepas perasmian Pakej Pendidikan Zoo Taiping & Night Safari di Pavillion Zoo Taiping baru-baru ini. FotoBERNAMA

PAKEJ pelancongan yang menarik ditawarkan pelbagai pihak dan agensi pelancongan, sempena Tahun Melawat Malaysia (VM2020) semakin menjadi pilihan pelancong, kata Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman.

Katanya, beliau percaya penawaran pakej-pakej itu akan membolehkan sasaran kemasukkan 30 juta pelancong asing dengan pendapatan RM100 bilion sempena VM2020 itu tercapai.

Katanya, menerusi pakej berkenaan yang ditawarkan, pelancong boleh menikmati produk pelancongan lebih daripada satu pakej tertentu sahaja.

"Pakej yang ditawarkan kebanyakannya menarik dan murah, malah pelancong berpeluang melawat tiga hingga empat tempat, berbanding satu sahaja.

"Kita juga boleh mengembangkan pakej pelancongan kepada pelancong dalam kalangan negara Asean," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Pendidikan Zoo Taiping & Night Safari di Taiping, Perak.

Pakej Pendidikan di zoo tersebut, menawarkan lima pakej yang berlainan iaitu Edu-Fun, 1,2,3, X-plorace Zoo, Pakej Khidmat Masyarakat dan Lawatan Renjer Zoo untuk pengunjung zoo memilih aktiviti yang mereka minati, dengan harga RM25 seorang.

Syed Yahya berkata Tourism Malaysia memilih pelancaran pakej pendidikan Zoo Taiping & Night Safari, sebagai salah satu destinasi produk pelancongan di negeri Perak, yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali flora dan fauna dengan lebih dekat.

Beliau berkata ia juga merupakan salah satu inisiatif Tourism Malaysia, meningkatkan pelancongan domestik dan pertumbuhan industri pelancongan tempatan, selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi destinasi pelancongan terpilih, bagi pelancong dalam dan luar negara sempena VM2020. - Bernama

Artikel Berkaitan