suria

Uzbekistan kaya sejarah tamadun Islam

Keindahan Registan Square di tengah bandar Samarkand merupakan monumen bersejarah gabungan tiga bangunan madrasah iaitu Ulughbek, Sher-Dor dan Tillya-Kari, antara destinasi yang wajib dikunjungi di Samarkand. - BERNAMA

MESKIPUN cuaca penghujung musim panas begitu terik dan menyengat kulit, namun saya tetap meneruskan niat untuk menziarahi Kompleks Makam Imam al-Bukhari RA yang sudah banyak saya dengar kehebatan seni binanya.

Memasuki kawasan persekitaran yang menempatkan makam cendekiawan Islam, pengumpul dan perawi hadis tersohor ini yang terletak di perkampungan Hartang, daerah Payaryk kira-kira 30 kilometer dari Samarkand ini, saya berasa begitu tenang sekali.

Daripada pintu gerbang kompleks, saya sudah dapat melihat keunikan seni bina Uzbekistan. Pintu gerbang itu diukir indah dengan ayat-ayat Al-Quran serta rekaan geometri.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak jimat duit ke kota fesyen New York? CityPass boleh bantu terokai 5 lokasi mengagumkan

Di kawasan asal makam ini terdapat sebuah bangunan berbentuk empat segi yang dibina oleh kerajaan Uzbekistan pada sekitar 1997, iaitu kira-kira 1,225 tahun selepas kematian Imam al-Bukhari. Ia dibuka dengan rasmi pada 23 Oktober 1998.

'Cantiknya'... Tak habis-habis hati saya menyebut ayat ini sambil jari terus membelek mozek berwarna putih, biru, hijau pada pintu besar makam berkenaan.

Kompleks Gur-Emir yang menempatkan makam pemerintah, pemimpin unggul Uzbekistan Amir Timur.

Uzbekistan kaya sejarah tamadun Islam

Uzbekistan negara yang tidak pernah terlintas dalam senarai destinasi untuk saya melancong namun pengalaman bertugas di sana mengubah persepsi saya.

Banyak keistimewaan Uzbekistan termasuk sejarah ketamadunannya membuatkan saya merancang untuk menjadikan destinasi percutian jika ada rezeki pada masa hadapan.

Malah mungkin ramai tidak menyedari bahawa Uzbekistan juga antara salah satu negara Asia Tengah yang menyimpan banyak sejarah tamadun Islam dan boleh dikatakan menjejakkan kaki ke sini seolah-olah berada di bumi Anbiya penuh barakah.

Ini kerana Uzbekistan mempunyai beberapa masjid lama berusia ratusan tahun, Muzium Amir Timur dengan ribuan manuskrip ketamadunan Islam, Kompleks Imam Khazrati atau Hast Imam yang menempatkan Al-Quran tulisan tangan pertama dan dikatakan terdapat bekas percikan darah Saidina Uthman Affan RA pada pertengahan abad ketujuh.

Selain itu, ia juga melahirkan ramai ilmuwan, cendekiawan Islam dan juga pakar bidang matematik serta astronomi seperti Mohammad bin Shahrukh bin Timur Mirza Ulugh Beg Guragan.

Kompleks Makam Imam Al-Bukhari RA mempunyai punca mata air yang tidak pernah kering dan telah dijadikan kolam.

Banyak lagi sebenarnya destinasi sejarah ketamadunan Islam di negara Asia Tengah ini khususnya di Tashkent, ibu negara Uzbekistan juga di bandar Bukhara namun saya menghabiskan banyak masa di Samarkand kerana festival muzik tersebut berlangsung di sana iaitu di Registan Square.

Samarkand, bandar kedua terbesar di Uzbekistan memerlukan lima jam perjalanan menggunakan pengangkutan darat dan tiga jam dengan Afrosiyab atau keretapi laju daripada Tashkent.

Turut dikenali sebagai Pearl of the East, Samarkand yang dijumpai kira-kira 700 sebelum masihi dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ini juga tidak terkecuali kaya dengan sejarah kegemilangan Islam yang boleh diterokai.

Ini kerana ia pernah menjadi nadi utama perdagangan dalam sejarah laluan sutera di antara China dan Mediterranean pada zaman purba kala serta pusat penting penyebaran agama Islam sekali gus pastinya bandar ini kaya dengan khazanah monumen bersejarah.

Kompleks Makam Imam al-Bukhari RA yang menempatkan makam cendiakawan Islam, pengumpul dan perawi hadis tersohor.

Samarkand kota penuh sejarah

Sebuah lagi lokasi yang sarat dengan seni bina Uzbekistan yang hebat boleh dilihat di Registan Square yang terletak di tengah bandar Samarkand. Ia merupakan monumen bersejarah gabungan tiga bangunan madrasah iaitu Ulughbek, Sher-Dor dan Tillya-Kari.

Ia dilabelkan sebagai pemandangan paling indah di negara Asia Tengah dan merupakan antara destinasi wajib juga dikunjungi di Samarkand.

Semasa zaman purba kala, Registan Square merupakan tempat mengumpulkan penduduk apabila hendak dibuat pengumuman mengenai dekri diraja dan tempat perdagangan untuk kafilah serta penyebaran ilmu agama, matematik dan astronomi.

Tempat bersejarah lainnya adalah mengamati keunikan seni bina Islam Kompleks Gur-Emir yang menempatkan makam pemerintah, pemimpin unggul Uzbekistan Amir Timur, kompleks Shah-i-Zindah (makam Qusam ibni Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW), Balai Cerap Ulughbek (ahli astronomi Islam) dan banyak lagi.

Memang benarlah, Samarkand merupakan kota penuh sejarah. Dan, pastinya peluang menjejaki negara tersebut merupakan pengalaman amat berharga buat saya. - BERNAMA 

Artikel Lain