suria

Suka ke Jepun tapi mahu lebih tenang? Fukuoka destinasi negara matahari terbit anda yang seterusnya

Inilah pemandangan dari udara bandar raya Fukuoka, Jepun.

BIARPUN negara Jepun terkenal dengan ibu negaranya Tokyo yang juga merupakan salah satu bandar raya paling dinamik di dunia, bandar-bandar lainnya juga tidak kurang hebatnya.

Lebih-lebih lagi bandar raya besar seperti Osaka dan juga Fukuoka. Berkat adanya pesawat tambang rendah yang terbang langsung ke bandar raya itu, saya pun mengambil kesempatan atas peluang yang ada.

Kota Fukuoka tidak sesibuk seperti di Tokyo. Ia lebih tenang dan mendamaikan.

Saya berpeluang menjejakkan kaki di Fukuoka baru-baru ini di penghujung musim luruh, saat musim sejuk mula menunjukkan kelibatnya. Biarpun kedinginan dapat dirasai di waktu malam namun ia hanyalah ‘sapaan’ manja musim sejuk. Just nice menurut saya.

Cuaca yang tidak terlalu panas dan sama sekali tidak sejuk memang cuaca paling saya senangi. Tak perlu nak bersarung tangan dan berbaju berlapis-lapis. Dua lapis sahaja sudah memadai untuk mengekang angin yang kadang kala bertiup kencang.

Oleh kerana saya tiba di waktu pagi, saya terus menuju ke hotel untuk meletakkan beg sebelum memulakan pengembaraan. Kehadiran saya juga disambut seorang wakil Pejabat Pelancongan Fukuoka yang bernama Toshihiro Mori. Dia menemani saya sepanjang perjalanan.

Menyaksikan pertunjukan ikan lumba-lumba di Marine world

Hotel yang saya duduki bernama The Blossom Hakata Premier. Ia merupakan hotel yang sangat cantik dan terletak di kawasan popular Fukuoka iaitu Hakata.

Ia merupakan kawasan pusat perdagangan bandar tersebut. Hotelnya berdekatan dengan stesen kereta api bawah tanah dan mudah untuk ditujui. Biliknya juga sangat selesa dan masih ada unsur-unsur asli Jepun yang dapat dinikmati oleh tamu yang berkunjung.

Oleh kerana biliknya luas ia ada ruang tamu berkonsep tradisional untuk keselesaan. Ini juga menjadikannya sebuah hotel yang sangat sesuai untuk tetamu berkeluarga atau kumpulan yang besar.

Patung yang diarak semasa Yamakasa.

Ia juga hanya beberapa minit perjalanan dari stesen kereta api bawah tanah serta pusat beli-belah terbaharu mereka, Canal City di Hakata.

Pusat beli-belah Canal City

Saya memulakan pengembaraan Fukuoka di pusat membeli-belah Canal City. Ia merupakan sebuah pusat beli-belah yang sangat besar dan terdapat aneka kedai di dalamnya.

Seperti namanya, bahagian luaran pusat komersial ini ada kawasan berupa terusan atau ‘canal’. Dan ini menjadikannya lebih cantik daripada biasa. Lebih istimewa, ia berkongsi kawasan dengan hotel lima bintang Grand Hyatt Fukuoka dan pada setiap petang hingga malam terdapat pertunjukan visual lampu khas di kawasan air pancuran mereka.

 Canal City Mall

Sinonim dengan Jepun, pertunjukan visual ini benar-benar hebat dan menampilkan watak-watak animasi Jepun mereka. Di dinding hotel, seolah-olah terbentuk satu layar khas yang kemudian disulami warna-warna laser dan juga air pancuran dan kesan bunyi yang luar biasa.

Saya sendiri menyaksikannya beberapa kali setiap saat melewati kawasan tersebut di waktu petang atau malam. Selain aneka kedai, ia juga mempunyai tempat makan berunsur makanan laut serta sayur-sayuran buat yang tidak makan daging.

Dan khas buat yang beragama Islam, mereka juga mempunyai ruangan khas untuk menunaikan solat di lantai bawah.

Masjid Fukuoka

Oleh kerana saya tiba pada hari Jumaat, saya kemudian sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Fukuoka.

Untuk ke sini boleh dengan menaiki kereta api bawah tanah mereka dan tidak terlalu jauh. Seperti kebanyakan bandar-bandar besar Jepun, hampir semuanya dilengkapi dengan pengangkutan awam yang hebat!

Masjid Fukuoka

Terdapat ramai juga para jemaah Muslim di masjid tersebut yang antaranya daripada warga Indonesia, Pakistan. Selesai solat Jumaat, saya dibawa ke sebuah tempat khas di satu pusat beli-belah yang bernama Local Development Lab di Tenjin.

Kedai ini menjual barangan tempatan yang kemudian dijadikan produk serta makanan untuk jualan. Saya sempat mencuba ubi khas mereka dan juga masakan yang disediakan dengan kandungan halal seperti sayuran dan ikan yang disediakan secara langsung di depan mata. Memang lazat dan tidak menghampakan.

Selesai menjamu selera, saya dibawa untuk mengenali sedikit budaya dan sejarah Fukuoka. Saya dibawa ke Muzium Penduduk Hakata Machiya. Di sini saya menyaksikan cara kain tenun mereka dibuat dan mendapat tahu ada sedikit persamaan dengan corak tenunan kita di Malaysia.

Pembuatan patung mainan tanah liat.

Di situ juga saya berpeluang menyaksikan cara patung permainan tradisional dibuat dengan menggunakan bahan tanah liat. Muzium ini juga menceritakan tentang salah satu perayaan terbesar Fukuoka yang disambut setiap musim panas iaitu Yamakasa.

Bercawat

Yamakasa merupakan sambutan khas buat para lelaki di mana setiap tahun ribuan kaum Adam bercawat dan berbaju mengangkat dan mengarak patung dewa mereka sekitar kota sebagai memperingati seorang sami Buddha yang pernah menyembuhkan penduduk kota.

Menara Fukuoka

Patung-patung berhias ini masih dapat dilihat di kuil-kuil berdekatan muzium tersebut. Selepas itu saya dibawa pula ke Kawabata Shopping Arcade, ia merupakan kawasan kedai yang panjang mirip sebuah terowong besar dan terdapat ajnas kedai yang menjual pelbagai barangan.

Di situ juga saya berpeluang mencuba sejenis makanan pencuci mulut mirip bubur kacang yang dilengkapi dengan bebola tepung. Ia dihidang panas dan sesuai dinikmati kala musim sejuk menyapa.

Keesokan harinya pula saya menaiki bas khas untuk mengelilingi kota Fukuoka. Saya dibawa ke kawasan tepi pantai di mana terletaknya Menara Fukuoka.

Dari atas menara saya dapat menikmati pemandangan indah bandar tersebut dan juga kawasan samuderanya. Dari Menara Fukuoka saya menaiki feri untuk menuju ke Marine World Uminonakamichi.

Arked Kawabata yang menjadi tumpuan membeli belah.

Di situ pengunjung boleh menyaksikan aneka hidupan laut dan macam-macam pertunjukan khas. Pulang dari dunia bawah laut, saya dibawa pula ke Taman Ohori Koen. Ia merupakan taman rekreasi popular yang sering menjadi tempat pertemuan dan juga riadah keluarga serta kawan-kawan.

Ia bukan sahaja luas tetapi sangat menenangkan. Di situ jugalah terletaknya sisa runtuhan Istana Fukuoka yang kini menjadi tempat pilihan untuk mengambil gambar. Saya sendiri sempat mengambil kesempatan mengabadikan beberapa foto di situ.

Bandar Yanagawa

Pada keesokan hari saya dibawa ke kawasan yang lebih jauh ke bandar Yanagawa. Dengan menaiki kereta api laju dari Tenjin, kami tiba di Yanagawa dalam masa sekitar 50 minit sahaja.

Yanagawa merupakan sebuah bandar yang sangat popular kerana ia terkenal dengan laluan dan terusan sungai yang menyediakan perkhidmatan sampan untuk pelancong.

Pemandangan indah menaiki sampan di Yanagawa

Mirip kota Venice di Itali, para tamu dibawa menaiki sampan yang dipandu oleh seorang pendayung.

Dia juga akan menyanyikan lagu-lagu tradisional di beberapa tempat dan menjelaskan kepentingan kawasan itu. Pengalaman ini perlu dialami oleh setiap yang berkunjung ke Yanagawa. Lebih istimewa lagi pemandangannya juga sangat cantik.

Terdapat sebuah bangunan yang menyimpan sejarah tokoh penting kota Yanagawa, iaitu seorang samurai terkenal. Kawasan bangunan itu kini sering dijadikan tempat untuk mengadakan majlis perkahwinan. Ia lengkap dengan sebuah taman berkonsep Jepun yang sangat indah penataannya.

Penulis di kawasan runtuhan istana Fukuoka.

Yanagawa juga terkenal dengan masakan khas mereka iatu ‘unagi’ atau belut yang dibakar atau panggang. Untuk yang beragama Islam, mereka boleh menyediakan belut lazat dengan kicap tanpa kandungan alkohol.

Rasanya benar-benar luar biasa dan memang terdapat banyak restoran belut ini di kota itu kerana mereka memang terkenal dengan haiwan tersebut.

Terdapat juga kedai yang menjual ikan-ikan popular lain di Yanagawa. Selesai makan saya pun pulang ke pusat kota Fukuoka.

Hidangan belut bakar... emmm menyelerakan.


Secara amnya, Fukuoka benar-benar mengasyikkan. Biarpun ia tidak sesibuk dan sepadat Tokyo atau Osaka namun semuanya ada di sana.

Penduduknya ramah dan bersopan-santun serta terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Aapa yang sempat saya alami hanyalah secebis intaian ke dalam kota unik ini.

Jika berpeluang ke Jepun, pastikan anda singgah ke Fukuoka!

***Jika anda mempunyai pengalaman dan tip pelancongan menarik untuk dikongsi, kirimkan kepada kami di [email protected] 

Fukuoka, Jepun, travel, lawat, melancong

Artikel Lain