suria

'Luasempit Weekend Market' bakal tandingi populariti Chatuchak

Ketua Pegawai Eksekutif Meridian Berhad, Datuk Seth Yap (empat dari kanan) bersama rakan kerjasama bagi menjayakan penubuhan Luasempit Weekend Market @ MTC di Kuala Linggi, Melaka.

JIKA melancong ke Bangkok, Thailand pastinya Chatuchak Market menjadi antara lokasi wajib dikunjungi kerana ia syurga bagi mendapatkan pelbagai barangan dan makanan pada harga berpatutan.

Tapi nampaknya populariti lokasi popular itu bakal tergugat apabila Malaysia bakal membangunkan pasar dengan konsep sama, malah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain.

Paling utama, lokasi yang diberi nama Luasempit Weekend Market @ Malaysia Tpurism City (MTC) itu akan menjadi pasar hujung minggu terbesar di dunia apabila ia dibina di tapak  berkeluasan 100 hektar dan tasik yang luasnya kira-kira 16 hektar!

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 5 negara paling bahaya untuk travel dengan pesawat

Ia terletak di MTC Kuala Linggi, Melaka dan fasa pertama daripada tiga fasa pasar itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Luasempit Weekend Market @ MTC bakal menawarkan 3,000 kedai yang menjual pelbagai barangan buatan tempatan, selain seleksi makanan daripada 14 negeri di seluruh Malaysia.

Pasar Chatuchak di Bangkok, Thailand sangat terkenal di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Meridian Berhad, Datuk Seth Yap memberitahu destinasi itu bukan sahaja bakal menarik pengunjung domestik malah pelancong antarabangsa apabila mereka melawat Melaka.

Kata Seth, tahun lalu sahaja negara menerima kedatangan pelancong seramai 28 juta dan 15 juta daripadanya melancong ke Melaka.

“1.5 juta daripada yang singgah ke Melaka akan menginap sekurang-kurangnya semalam di negeri bersejarah itu dan kewujudan Luasempit pastinya akan menarik minat pelancong untuk bermalam lebih lama,” katanya.

Seth turut memberitahu idea membuka pasar itu pada hujung minggu bagi membolehkan usahawan muda mengembangkan perniagaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya tetap mereka.

Malah katanya, setiap kedai juga di sewa pada harga berpatutan iaitu RM2,500 sebulan.

Bunga sakura Malaysia akan memenuhi ruang di Luasempit.

“Luasempit bukan sahaja bakal menjadi destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara tetapi juga bakal memberi keuntungan kepada usahawan muda bagi mengembangkan perniagaan dan produk mereka.

“Paling penting semua barangan yang dijual nanti adalah buatan Malaysia dan diharap ia dapat memperkenalkan produk kita kepada pelancong antarabangsa,” ujarnya.

Apabila siap nanti ada beberapa sebab kita perlu berkunjung ke Luasempit Weekend Market @ MTC termasuk:

1. Broad Street (Luas)

Kawasan ini bakal menjadi syurga makanan dari 14 negeri seluruh Malaysia menerusi 1,500 gerai.

Ia dibahagikan kepada tujuh warna bagi memudahkan pengunjung mencari makanan mengikut negeri selain seleksi makanan antarabangsa.

2. Narrow Street (Sempit)

Selepas kenyang, pengunjung boleh melawat 1,500 kedai lain yang menjual pelbagai produk tempatan termasuk pakaian, barangan antik, aksesori, lukisan, barangan elektronik dan sebagainya.

Jangan bimbang! Pihak pengurusan hanya membenarkan tiga benda yang sama di jual selain harga ditawarkan juga adalah tetap dan buatan Malaysia.

3. Hanging Art

Setiap lorong di Luasempit akan dihiasi dengan pelbagai jenis seni dalam menarik minat pengunjung yang gemarkan fotografi dan Instagram!

4. Floating Market

Seperti di Thailand, Luasempit juga akan mempunyai pasar terapungnya sendiri di kawasan tasik bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Menariknya, pasar terapung ini akan memfokuskan kepada penjualan pencuci mulut dan manisan tempatan.

5. Bamboo Island

Di kawasan tasik akan dibina sebuah pulau buluh bagi membolehkan pengunjung menikmati kehijauan pokok buluh bersama keluarga.

6. Taman Burung

Luasempit juga bakal mempunyai taman burungnya sendiri dan ia dijangka menjadi tumpuan kepada pencinta fauna.

7. Malaysia Sakura

Bunga Sakura Malaysia atau Tabebuia akan ditanam di sepanjang jalan dalam kawasan Luasempit bagi membolehkan pengunjung menikmati kecantikan sambil berjalan atau berbasikal.

Artikel Lain