suria

Terbang penuh gaya ke Pulau Langkawi dengan Qatar Airways mulai Oktober ini

Qatar Airways akan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner untuk terbang ke Pulau Langkawi dari Pulau Pinang bermula 15 Oktober depan.

PULAU Langkawi menjadi antara destinasi utama pelancong yang berkunjung ke Malaysia bagi merasai keindahan pantai serta berkunjung ke pelbagai lokasi menarik untuk pengunjung dalam dan luar negara.

Jadi tidak hairan pulau yang dikelilingi oleh lautan Andaman itu menjadi pilihan serta tersenarai sebagai 50 destinasi pelancongan dan riadah terbaik pada 2019 oleh Travel + Leisure.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 aktiviti menarik di The Westin Langkawi buat anda tak terfikir keluar ke tempat lain!

Sebelum ini hanya beberapa syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan ke pulau legenda itu seperti Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan FireFly.

Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akhbar Al Baker dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada majlis memperkenalkan penerbangan ke Pulau Langkawi pada Selasa.

Nampaknya selepas ini anda boleh melancong ke Pulau Langkawi dengan penuh gaya apabila syarikat penerbangan gergasi dunia iaitu Qatar Airways memperkenalkan penerbangan terus ke sana dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bermula 15 Oktober ini.

Mana tidaknya, sebagai sebuah syarikat penerbangan terbaik dunia, Qatar Airways sentiasa mementingkan keselesaan penumpang apabila menggunakan pesawat canggih Boeing 787 Dreamliner untuk terbang ke Pulau Langkawi.

Ia mempunyai 22 tempat duduk kelas perniagaan dan 232 tempat duduk kelas ekonomi.

Meskipun perjalanan dari Pulau Pinang mengambil masa kurang sejam ke pulau itu, namun pesawat yang digunakan sangat selesa selain didatangkan dengan ruang kabin yang luas serta reka bentuk dalaman istimewa.

Pulau Langkawi destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akhbar Al Baker pada sidang media yang diadakan pada Selasa lalu.

Sebagai permulaan Qatar Airways akan memulakan operasi ke pulau itu sebanyak empat kali seminggu sebelum ditambah kepada lima penerbangan dalam tempoh sama bermula 27 Oktober.

Selain Pulau Langkawi, Qatar Airways turut menawarkan penerbangan ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Doha.

Berikut jadual penerbangan Qatar Airways ke Pulau Langkawi bermula 15 Oktober 2019;

Operasi (Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad)

Doha (DOH) ke Pulau Pinang (PEN) QR866 berlepas 02:25 pagi, tiba 15:00 petang.

Pulau Pinang (PEN) ke Langkawi (LGK) berlepas 16:25 petang, tiba 17:05 petang.

Langkawi (LGK) ke Pulau Pinang (PEN) QR867 berlepas 19:00 petang, tiba 19:40 petang.

Pulau Pinang (PEN) ke Doha (DOH) berlepas 21:00 malam, tiba 23:45 malam (waktu tempatan).

Jadual penerbangan bermula 27 Oktober 2019;

Operasi (Selasa, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad)

Doha (DOH) ke Pulau Pinang (PEN) QR866 berlepas 02:10 pagi, tiba 14:20 petang.

Pulau Pinang (PEN) ke Langkawi (LGK) berlepas 15:30 petang, tiba 16:20 petang.

Langkawi (LGK) ke Pulau Pinang (PEN) QR867 berlepas 18:40 petang, tiba 19:40 petang.

Pulau Pinang (PEN) ke Doha (DOH) berlepas 20:35 malam, tiba 23:25 malam (waktu tempatan).

Artikel Lain