suria

Bukan hanya ada airport, ini lokasi menarik yang boleh anda kunjungi di Sepang

Antara salah satu tarikan di daerah Sepang, Litar Antarabangsa Sepang.

JIKA anda berkunjung ke Selangor dan kebetulan pula di daerah Sepang, banyak perkara menarik sebenarnya yang boleh dilakukan di sana bersama dengan yang tersayang.

Seperti yang sedia maklum, Sepang terletak dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Memandangkan anda sudah berada di dalam kawasan ini, marilah singgah di beberapa tempat menarik termasuklah Litar Antarabangsa Sepang, ladang buah naga dan Mitsui Outlet Park.

Mitsui Outlet Park

Sebuah percutian pasti tidak akan lengkap tanpa aktiviti membeli-belah. Jadi inilah peluang keemasan untuk anda membeli barang-barang berjenama mewah dengan harga rendah. Singgah saja ke Mitsui Outlet Park.

Mitsui Outlet Park yang terletak dekat dengan KLIA dan KLIA2 ini menawarkan pelbagai promosi pada setiap masa dan sudah pasti anda perlu sediakan wang yang secukupnya untuk berbelanja.

Jangan lepaskan peluang untuk membeli belah barangan mewah dengan harga rendah di Mitsui Outlet Park.

Restoran Leten Makanan Cina Halal

Bila dah penat berjalan-jalan satu Mistui Outlet, sudah tentu perut kita minta untuk diisi. Maka, alang-alang dah berada di sana apa kata singgah ke restoran makanan Cina halal, Leten, yang hanya terletak di tingkat satu pusat membeli-belah itu ini kerana pelbagai menu yang disediakan buat para pengunjung. 

Antara menu yang popular di Leten seperti Original Chicken Xiao Long Bao, Golden Custard bun, Pan-Fried Chicken Dumpling, Steamed Vegetable dan banyak lagi!

Jadi, apa tunggu lagi? Jom singgah di Leten untuk merasai hidangan makanan Cina yang dijamin halal untuk dimakan.


Salah satu menu popular, Original Chicken Xiao Long Bao di restoran Leten.

Muzium Automobil Nasional, Welcome Centre Litar Antarabangsa Sepang

Selain itu, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium Automobil Nasional yang terletak di Litar Antarabangsa Sepang kerana terdapat koleksi-koleksi kereta vintaj dan klasik yang membuat anda sungguh teruja untuk melihatnya. 

Ruangan muzium dua tingkat ini mempamerkan sejarah perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia dan menyediakan pelbagai info termasuk aktiviti-aktiviti tahunan sukan permotoran. 

Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri dan Raya Aidiladha serta lebih menarik lagi apabila masuk adalah percuma!

Salah satu koleksi kereta vintaj yang terdapat di Muzium Automobil Nasional.

Ladang Buah Naga

Alang-alang nak pergi ke arah Pantai Bagan Lalang, bagi penggemar buah naga, anda boleh melawat ladang buah naga milik HL Nursery Trading yang terletak di Sepang. Sementara itu, bolehlah anda merasai sendiri kesegaran buah yang mengandungi anti oksidan yang tinggi ini.

Bukan setakat buah naga sahaja yang dijual, minuman jus buah naga juga turut dijual dengan harga RM16 sahaja apatah lagi ketika musim panas pasti mampu menghilangkan dahaga dengan kesegaran dan keaslian buahnya.

Buah naga, salah satu buah tempatan yang menjadi kegemaran ramai.

Hotel Movenpick@KLIA 

Bila dah penat berjalan-jalan seluruh Sepang ini, menginaplah di hotel empat bintang ini yang berkonsepkan ala-ala Dubai dengan dihiasi 76 pokok tamar di sekelilingnya.

Hotel ini telah mula beroperasi pada Oktober 2018 dan tidak menyediakan minuman beralkohol kepada pelanggan hotel bagi mematuhi syariat islam.

Mempunyai 333 buah bilik yang disediakan untuk pengunjung dari pelbagai pelusuk negeri dan negara, hotel milik Tabung Haji ini menawarkan harga serendah RM288 mengikut pakej bilik yang disediakan dan jaraknya hanya 10 minit sahaja ke KLIA dan KLIA2.

Sepang, Movenpick, tempat menarik

Artikel Lain