Pemohon visa AS perlu dedah nama akaun media sosial, e-mel - Destinasi | mStar

Pemohon visa AS perlu dedah nama akaun media sosial, e-mel

Peraturan baharu itu diperkenalkan bagi menjaga keselamatan rakyat AS.

ORANG ramai yang berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) sama ada untuk bekerja atau belajar perlu menyenaraikan nama akaun media sosial dan alamat e-mel yang aktif digunakan selama lima tahun serta nombor telefon dibawah peraturan baharu.

Pihak berkuasa menganggarkan perubahan itu akan memberi kesan kepada 14.7 juta pengunjung ke negara itu setiap tahun.

Pemohon visa diplomatik dan rasmi tertentu pula akan dikecualikan daripada langkah baharu yang lebih ketat itu.

"Kami sentiasa berusaha mencari mekanisme untuk meningkatkan proses pemeriksaan bagi melindungi rakyat AS sambil menyokong perjalanan sah ke negara ini," kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Sebelum perubahan itu, hanya segelintir individu seperti mereka yang pernah berkunjung ke negara yang dikuasai kumpulan pengganas perlu menyerahkan data tambahan tersebut.

Tetapi sekarang pemohon perlu memaklumkan nama akaun media sosial mereka.

Sesiapa yang didapati berbohong mengenai perkara itu akan berdepan tindakan serius Jabatan Imigresen.

Apabila pentadbiran Donald Trump mencadangkan peraturan itu pada Mac 2018, sebuah kumpulan hak asasi manusia mengecam pendekatan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai tiada bukti bahawa pemantauan media sosial sedemikian berkesan atau adil. - Metro.co.uk