suria

Aplikasi FlySmart 'rakan karib' wajib ada setiap kali travel, ketahui hak dan langkah mudah kemuka aduan

Aplikasi FlySmart boleh dimuat turun secara percuma menerusi App Store dan Play Store. FOTO: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

SETIAP kali tibanya musim perayaan, pasti ramai yang berpusu-pusu untuk pulang ke desa tercinta.

Ada yang pulang dengan menaiki kereta, ada juga yang selesa menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, kereta api dan kapal terbang.

Berbicara mengenai kapal terbang, biarpun waktu perjalanan menjadi lebih singkat, namun kita juga sering berhadapan dengan pelbagai masalah lain.

Antara yang sering berlaku termasuklah kerosakan dan kehilangan bagasi, pembatalan serta penundaan jadual penerbangan.

Namun, tahukah anda mengenai hak-hak setiap penumpang kapal terbang?

Bukan sekadar membuat aduan, anda juga boleh menyemak status aduan menerusi aplikasi FlySmart.

Apakah hak yang selayaknya dinikmati anda dan jika berlaku sebarang kesulitan, bagaimana anda mahu menyalurkan aduan?

Menerusi aplikasi FlySmart yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), ia menjadi pusat rujukan pantas di hujung jari anda.

Dengan pelbagai info berguna, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan App Store ini wajib menjadi 'rakan karib' anda setiap kali ingin menaiki kapal terbang.

FlySmart yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu menerusi laman sesawang dan Facebook kini mempunyai aplikasi yang cukup mudah untuk diakses.

Fungsi utama yang paling penting tentunya ruang untuk membuat aduan menerusi saluran yang betul.

Banyak maklumat mengenai hak penumpang seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia terkandung dalam aplikasi ini.

Bukan sekadar aduan, pengguna juga boleh mengesan status aduan yang telah dibuat serta apakah maklumat yang diperlukan dan tindakan yang diambil.

Antara maklumat lain yang boleh diakses termasuk cara menuntut pampasan, bantuan penerbangan, caj-caj tambahan, kenaikan harga selepas pembelian, larangan menaiki pesawat dan perubahan waktu penerbangan.

Pendek kata, semua maklumat mengenai hak anda sebagai penumpang terkandung dalam aplikasi ini.

Apa tunggu lagi, jangan biarkan anda terlepas hak-hak yang sepatutnya dinikmati. Muat turun segera secara percuma sebelum memulakan perjalanan anda dan terbanglah dengan bijak.

Artikel Lain