London, New York, Tokyo, Paris kekal bandaraya paling menarik dunia - Destinasi | mStar

London, New York, Tokyo, Paris kekal bandaraya paling menarik dunia

Suasana di kawasan beli-belah Shibuya, Tokyo. -fotoAFP

LONDON, New York, Tokyo dan Paris sekali lagi dinamakan sebagai bandaraya paling menarik di dunia dalam laporan Indeks Bandar Raya Kuasa Global (GPCI) 2018.

Laporan berkenaan menyenaraikan 44 bandaraya utama dari segi daya tarikan atau kuasa keseluruhan untuk menarik orang perseorangan dan perusahaan yang kreatif dari seluruh dunia, sejak 2008.

GPCI diterbitkan pada Khamis oleh Institut Yayasan Peringatan Mori Bagi Strategi Bandar, badan penyelidikan yang diwujudkan oleh Mori Building, pemaju bandar terkemuka di Tokyo.

Menurut Yayasan Peringatan Mori dalam satu kenyataan di sini, empat bandaraya teratas itu kekal tidak berubah dari tahun lepas, dengan London, New York, Tokyo dan Paris mengekalkan kedudukan satu hingga empat mereka masing-masing.

Bandaraya tersebut dinilai dari segi 70 petunjuk dalam enam kategori iaitu ekonomi, R and D, interaksi Budaya, sesuai untuk didiami, persekitaran dan mudah untuk diakses.

-fotoAFP

London terus melonjak dan turut meningkatkan markah dengan terus memanfaatkan momentum Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2012.

Bandaraya itu menaiktaraf kategori paling lemahnya yang terdahulu, sesuai untuk didiami, dan terus menunjukkan kekuatan yang luar biasa di dalam interaksi budaya.

Walaupun ketidakpastian wujud berhubung keputusan United Kingdom untuk keluar dari Kesatuan Eropah, kekuatan yang seimbang merentasi beberapa kategori telah memberikan London potensi untuk mengubah cabaran kepada peluang, sekali gus memperluaskan kedudukannya di hadapan dan meneruskan ke hadapan sebagai bandaraya pada kedudukan paling atas.

Setelah krisis kewangan global reda, New York mencatatkan kenaikan markah satu tahun yang paling tinggi sejak ranking GPCI dimulakan, apabila meraih manfaat daripada penilaian yang kukuh dalam persekitaran permulaan dan kepelbagaian dalam pilihan tempat kerja.

Sementara itu, Tokyo, yang berada dalam 10 tempat teratas dalam semua kategori kecuali persekitaran, telah berjaya memasuki kedudukan 10 teratas dalam kategori sesuai untuk didiami dengan jumlah jam bekerja yang lebih baik.

"Seperti London pada 2012, Tokyo berharap dapat meningkatkan markah sebelum dan selepas menganjurkan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik pada 2020," katanya.

-fotoAFP

Paris, selepas turun ke tempat keempat berikutan beberapa serangan pengganas pada 2015, telah pulih untuk meningkatkan markah keseluruhan, termasuk dalam jumlah pelawat asing.

Menurut kenyataan itu, berikutan pengumuman rasmi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2024 di Paris, bandar raya itu berkemungkinan akan bersaing dengan Tokyo bagi pertumbuhan yang berkaitan dengan sukan.

Bagi bandaraya lain, kenyataan itu menyenaraikan Singapura, secara tradisinya mantap dalam kebebasan ekonomi, kadar cukai korporat, dan Persidangan Antarabangsa, kini menduduki di tempat pertama di seluruh dunia dalam kepuasan kehidupan pekerja dan pertama di Asia untuk persekitaran permulaan niaga.

Amsterdam pula disenaraikan secara positif sebagai bandar raya yang menyokong, bersedia dari segi teknologi untuk perniagaan.

Maklumat lanjut boleh didapati di http://mori-m-foundation.or.jp atau https://www.mori.co.jp. -Bernama

bandaraya dunia