Juruterbang dedah berapa kerap jaket keselamatan dalam pesawat diperiksa, beri tip penggunaan - Destinasi | mStar

Juruterbang dedah berapa kerap jaket keselamatan dalam pesawat diperiksa, beri tip penggunaan

-foto Getty

DEMONSTRASI keselamatan oleh kru kabin sentiasa menunjukkan kepada penumpang tentang penggunaan jaket keselamatan dalam keadaan kecemasan, tidak kira laluan mana yang akan diambil oleh pesawat.

Tetapi adakah setiap kerusi dalam peswat mempunyai jaket keselamatan?

Biasanya kru kabin akan menunjukkan demonstrasi tentang cara memakai jaket keselamatan sebelum pesawat berlepas supaya penumpang tahu apa yang perlu dilakukan dalam keadaan kecemasan.

Seorang juruterbang mendedahkan berapa kerap sebenarnya kru penerbangan membuat pemeriksaan bahawa jaket itu benar-benar berada di bawah kerusi penumpang dan apa yang harus anda lakukan dengannya jika penerbangan berdepan masalah.

Juruterbang tersebut yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu Express.co.uk bahawa pemeriksaan rutin perlu dilakukan.

"Pemeriksaan dilakukan untuk memastikan ia berada di tempatnya dalam setiap penerbangan.

"Setiap penumpang harus ada satu," katanya.

Bagaimanapun, terdapat kes yang mana terdapat penumpang mengambil jaket keselamatan tersebut untuk dijadikan cenderahati.

Pada tahun 2015 seorang wanita Cina berusia 64 tahun mencuri jaket keselamatan dalam penerbangan Cathay Pacific Airways dan didenda untuk kesalahan itu.

Di mahkamah, dia mendakwa tidak tahu tindakannya itu salah dan dia hanya menjadikannya sebagai cenderahati.

Juruterbang memberitahu Express.co.uk bahawa jaket keselamatan itu 'sangat boleh dipercayai sehingga tidak terdedah kepada masalah'.

Bagi yang tidak tahu, jaket keselamatan akan digunakan untuk pendaratan kecemasan di dalam air.

Walau bagaimanapun, realitinya kemalangan secara tiba-tiba bermakna kebanyakan penumpang tidak sempat memakai jaket tersebut.

Selepas insiden Miracle on the Hudson, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan menulis kepada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan pada tahun 2014.

Laporan itu berkata: "Jaket keselamatan mungkin tidak dapat digunakan dengan betul oleh majoriti penumpang dalam jumlah yang sangat besar ketika kecemasan sebenar apabila jaket perlu dipakai."

Ujian makmal dan kecemasan nyata telah membuktikan bahawa penumpang lebih cenderung untuk melarikan diri daripada mencari jaket keselamatan di bawah kerusi mereka.

Bagaimanapun, jika terdapat amaran tentang pendaratan air, penumpang mungkin mempunyai masa berbuat demikian.

Penumpang diingatkan supaya tidak meniup jaket keselamatan mereka di dalam kabin seperti yang diarahkan oleh kru kabin dalam demonstrasi keselamatan.

Salah satu sebabnya kerana jaket yang siap ditiup akan menjadikan anda lebih sukar untuk keluar melalui pintu dan menghalang penumpang lain.

Ia juga mungkin koyak semasa sedang menyelamatkan diri yang akhirnya menyebabkan jaket itu tidak dapat berfungsi.

Alasan lain yang kurang diketahui adalah, jaket itu secara logiknya boleh menyebabkan penumpang lemas jika kapal terbang tenggelam.

Sekiranya pesawat itu dipenuhi dengan air, penumpang yang memakai jaket mereka tidak akan dapat keluar dari pintu kerana ia akan terapung ke bahagian atas pesawat.

jaket keselamatan , kecemasan