suria

Tarikan terbaharu... Tebingan Kuching lebih indah dengan Darul Hana Musical Fountain

KUCHING: Air pancut berirama, satu lagi tarikan di tebing Sungai Sarawak berlatar belakangkan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak dinamakan sebagai Darul Hana Musical Fountain.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud semasa majlis perasmian air pancut berirama itu di Square Tower, Tebingan Kuching di sini malam Ahad.

Perasmian air pancut berirama itu diadakan bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-82 Abdul Taib yang disambut Sabtu.

-fotoBERNAMA

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya berkata kerajaan Sarawak mengambil pendekatan 'di luar kotak' dalam melaksanakan perkhidmatan khususnya melibatkan sektor pelancongan negeri.

"Kuching memiliki karakternya yang tersendiri menerusi pembinaan air pancut terjun ini di tebing Sungai Sarawak, berhampiran Jambatan Darul Hana yang berlatar belakang bangunan DUN memberi gambaran betapa harmoninya bandar raya ini," katanya.

-fotoTHESTAR

Abang Johari berkata air pancut berirama itu akan melengkapkan lanskap di Tebingan Kuching.

"Air pancut tersebut akan dipersembahkan dua kali setiap malam pada pukul 8.30 malam dan 10 malam, setiap sesi akan mengambil tempoh 15 minit," katanya.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh isteri Abdul Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, dan isteri Abang Johari Datin Patinggi Juma'ani Tun Tuanku Bujang serta barisan kabinet negeri.

-fotoBERNAMA

Air pancut berirama tersebut beroperasi menggunakan teknologi terkini yang memiliki pontoon selebar 100 meter, di atas pontoom itu disusun beratus nozzle yang berupaya memancutkan air setinggi 25 meter dari Sungai Sarawak.

Tarikan terbaharu itu juga dilengkapi dengan ciri-ciri unik seperti dinding air berketinggian sembilan meter panjang dan berfungsi sebagai latar belakang pancutan air.

Manakala takungan air di bahagian dinding air direka bersama jubin khas yang akan memberi sentuhan semula jadi terhadap air pancut berirama itu.

Air pancut berirama ini juga mampu bergerak dan menari mengikut irama lagu yang dipadankan dengan kesan bunyi khas dan sistem pencahayaan yang penuh berwarna-warni mengikut kesesuaian majlis atau acara. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain