Restoran automatik pertama di Malaysia, canggih bagaikan alat Doraemon - Destinasi | mStar

Restoran automatik pertama di Malaysia, canggih bagaikan alat Doraemon

SEBUT sahaja Wechat, pasti ramai yang tahu tentang aplikasi sembang atas talian popular itu.

Namun, tahukah anda bahawa Wechat kini boleh digunakan untuk memesan makanan dari restoran automatik (automated restaurant) pertama di Malaysia?

Automatik macam mana tu? Caranya mudah saja - buka Wechat, pilih hidangan yang anda mahu dan anda boleh terus ke kedai untuk segera menikmatinya.

Menariknya lagi, makanan yang ditempah akan diletakkan dalam satu peti interaktif dan ia hanya akan terbuka setelah anda mengimbas kod di skrin peti berkenaan.

Malah, nama dan gambar profil Wechat anda juga akan terpampang di peti itu. Menarik bukan?



Mula beroperasi sejak 2 Februari lalu, Great - the Healthier Fast Food Restaurant yang terletak di One Utama ini menawarkan 30 seleksi hidangan sihat, sedap dan lain dari yang lain.

Menurut pengasas restoran itu, Tan Yong Jen, teknologi yang diaplikasikan di restoran miliknya berasal dari Amerika Syarikat dan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Jelasnya lagi, walaupun semua urusan tempahan dan pembayaran dilakukan secara atas talian menerusi Wechat, ia tidak menghalang warga emas untuk mencuba pengalaman mengujakan itu.

"Teknologi seperti ini biasanya sinonim dengan orang muda, tapi golongan tua pun ramai yang datang. Mereka teruja untuk belajar benda baharu.

"Apa yang penting, kami menawarkan makanan segera (fast food) versi sihat. Hidangan kita juga diselia oleh empat orang pakar nutrisi," katanya kepada mStar Online.



Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah Nasi Lemak Bowl. Santapan popular tempatan itu dihidangkan dalam satu mangkuk bersama bahan-bahan lain yang berwarna-warni dan begitu menggoda pandangan mata.

Malah, mereka menggunakan beras mullet yang dikatakan lima kali lebih berkhasiat berbanding beras perang dan beras biasa.

Selain nasi lemak bowl, mereka juga ada menawarkan Flavorful Satay Bowl, Japanese Sesame Bowl dan Crispy Nestum Bowl.

Bagi mereka yang suka hidangan burger, antara pilihan yang ditawarkan ialah Nasi Lemak Burger, Signature Smoky Burger, Korean Kimchi Burger, Passion Nestum XXL Burger dan banyak lagi.

Sewaktu kunjungan ke restoran itu, penulis juga sempat mencuba tiga aiskrim yang dibuat sepenuhnya dari buah-buahan segar iaitu Golden Fruity Nice Cream, Very Berry Nice Cream dan Great Cocoa Nice Cream.

Tiga seleksi ais krim itu bukan sahaja enak malah masih mengekalkan keaslian rasa buah-buahan yang menjadi kandungan utamanya.


Antara menu lain yang patut dicuba ialah Tempura Mushroom dan Pizzafries. Dua hidangan ini paling menarik perhatian penulis. Hidangannya ringkas sahaja tetapi sangat sedap dan menyelerakan.

Pizzafries merupakan kentang goreng biasa yang diadun dengan perisa pizza sekali gus menjadikan rasanya lebih memikat. Begitu juga dengan Tempura Mushroom, sekali rasa ia seperti cempedak goreng, namun berbaloi untuk dicuba.

Rugi sekiranya anda tidak mencuba semua menu yang ditawarkan di Great - the Healthier Fast Food Restaurant.

Anda bukan sahaja dapat menikmati makanan yang enak dan sihat, malah dapat merasai sendiri teknologi yang diaplikasikan di restoran itu yang boleh diibaratkan seperti menaiki mesin masa ke zaman akan datang.