suria

Tiket Dua Hala Singapura-Berlin Hanya Serendah RM1,807

Penerbangan Singapura-Berlin akan diadakan sebanyak empat kali seminggu. - Foto: Trip Savvy & Nicholas Kamp

KUALA LUMPUR: Scoot yang berpangkalan di Singapura menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menawarkan penerbangan tanpa henti antara Asia Tenggara dan Berlin dengan pelancaran laluan Singapura-Berlin, yang dijadualkan bermula 20 Jun, 2018.

Ketua Pegawai Komersialnya, Vinod Kannan, berkata penumpang boleh memilih kelas ekonomi dengan harga sehingga serendah RM1,807 bagi perjalanan dua hala termasuk cukai atau memilih kelas perniagaan ScootBiz untuk lebih keselesaan dengan tempat duduk yang lebih luas, bagasi daftar masuk 30 kilogram beserta makanan dan minuman daripada harga serendah RM6,204 bagi perjalanan dua hala termasuk cukai.

Penerbangan empat kali seminggu itu akan beroperasi pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad, dengan penerbangan TR734 berlepas dari Singapura pada pukul 12.25 pagi manakala penerbangan pulang TR735 yang berlepas dari Berlin akan tiba di Singapura pada pukul 3.45 pagi.

"Penerbangan tersebut disusun sedemikian rupa untuk menyediakan masa yang mencukupi kepada penumpang dari Malaysia bagi mendapatkan penerbangan sambungan masuk dan keluar dari Singapura.

"Antara Kuala Lumpur dan Singapura, Scoot menawarkan penerbangan empat kali sehari yang membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan penerbangan lancar ke Berlin,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran laluan itu, di sini, Khamis.

Scoot dijadualkan memulakan penerbangan ke Singapura-Berlin pada Jun depan. - Bernama

Beliau berkata Scoot gembira dapat menyediakan perkhidmatan itu kepada pasaran Malaysia dengan menawarkan laluan baharu yang termasuk destinasi jarak jauh seperti bandar-bandar popular di Eropah, bermula dengan Athens Jun lepas dan kini Berlin.

Penerbangan Singapura-Berlin selama 13 jam itu akan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliners.

Sementara itu, Vinod berkata, pasaran Malaysia penting bagi Scoot dan oleh itu syarikat penerbangan tersebut telah memperkenalkan lebih banyak destinasi di Malaysia, iaitu Kuching (Oktober 2017) dan Kuantan (Februari 2017), selain ke Ipoh, Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.

Turut hadir pada majlis pelancaran hari ini ialah Pengarah Pemasaran dan Jualan German National Tourist Office (Asean), Chun Hoy Yuen.

Chun berkata laluan Berlin sudah pastinya akan menyediakan peluang bagi lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong ke Berlin dan Jerman.

"Pada 2017, rakyat Malaysia melakukan 72,000 kunjungan ke Jerman. Angka itu sudah tentunya dijangka meningkat tahun ini. Begitu juga, ia akan membuka pintu bagi lebih ramai warga Eropah untuk melancong ke Asia,” katanya. - Bernama

Berlin, Scoot

Artikel Lain