suria

Radar Airbnb Pilih Pengalaman Unik Teroka KL

BAGI sesiapa sahaja yang peka mengenai pelancongan di peringkat global, Airbnb bukanlah sesuatu yang asing.

Malah, nama Airbnb sering disebut dalam lagu nyanyian artis antarabangsa seperti Calvin Harris, G-Eazy dan ramai lagi.

Pada 20 Mac, syarikat hospitaliti berasaskan komuniti terkemuka dunia itu mengumumkan pelancaran lebih daripada 40 Pengalaman Airbnb (40 Airbnb Experiences) di Kuala Lumpur.

Ia berikutan peningkatan populariti Malaysia sebagai destinasi global sebanyak 137 peratus sejak tahun lalu.

Menerusi pengalaman ini, Airbnb mengorak langkah dengan bukan sahaja menawarkan perkongsian penginapan, malah menawarkan lawatan dan aktiviti buat pelancong.

Antara pengalaman Airbnb yang menarik ialah Sehari Dalam Kehidupan Seorang Pelukis Batik Tempatan.

Dalam aktiviti ini, pelancong bukan sahaja diberi penerangan mengenai sejarah dan proses pembuatan batik malah mereka juga akan diberi peluang untuk mencanting sendiri mengikut kreativiti mereka.

Selain itu, pelancong juga akan diberi pengalaman meneroka bandar di negara ini dari sudut pandang  berbeza yang akan dikelola oleh warga tempatan.

Misalnya, mereka boleh menyertai aktiviti Keindahan Kampung Baru.

Menerusi aktiviti penerokaan ini, pelancong dapat mengenali perkampungan Melayu terakhir di Kuala Lumpur secara lebih mendalam.

Selain menziarahi Masjid Kampung Baru dan beberapa lokasi nostalgia, pelancong juga berpeluang mencuba 'street food' di kawasan itu.

Bagi pelancong yang gemarkan aktiviti ekstrem pula, mereka boleh ikut serta dalam Lawatan Sehari Mendaki Air Terjun.

Selain menikmati keindahan air terjun, mereka juga boleh melakukan aktiviti mendaki (hiking) dan melihat sendiri flora dan fauna yang wujud si lokasi itu.

Mahukan sesuatu yang lebih ekstrem, apa kata cuba Pendakian Tersembunyi di Kuala Lumpur.

Aktiviti mendaki di Bukit Tabur pastinya memberi satu pengalaman berbeza buat pelancong dengan panorama indah yang ditawarkan di puncaknya.

Untuk pelancong yang mahu mendekatkan diri dengan cara hidup kampung pula, mungkin aktiviti Menoreh Getah dan Makan Tengah Hari Dalam Mangkuk Tingkat patut dicuba.

Menerusi aktiviti ini, mereka akan dibawa melawat sebuah ladang getah seluas 10 hektar di Sepang.

Lebih menarik lagi, pelancong juga boleh belajar cara sebenar untuk menoreh getah.

Selepas penat menoreh, mereka akan dihidangkan juadah tempatan dalam mangkuk tingkat.

Wah, seronok bukan? Pengalaman seperti ini sukar untuk dirasai dalam dunia serba moden hari ini.

Dengan 40 Pengalaman Airbnb, dapatlah pelancong merasai sendiri aktiviti menoreh getah, makan dalam mangkuk tingkat, mencanting batik dan banyak lagi.

Jadi, apa tunggu lagi. Untuk maklumat lanjut, anda boleh lawati www.airbnb.com/experiences.

Airbnb, KL

Artikel Lain