suria

Peminat Kopi Jangan Lupa Singgah 'Kopi Wong' Jika Ke Pasar Sehari Temerloh!

Peniaga kopi Wong Tiang Kuang, 75, menunjukkan serbuk kopi yang siap diproses daripada kopi mentah, dengan cara menggoreng dan mengisar sendiri secara manual sebelum dijual di Pasar Sehari Temerloh. -fotoBERNAMA

PEKAN Sehari Temerloh iaitu pasar minggu terpanjang di negara ini, cukup dikenali dalam kalangan penduduk tempatan atau pengunjung luar sebagai lokasi untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian.

Terletak di pertemuan Sungai Pahang dan Sungai Semantan, pasar sehari sepanjang satu kilometer yang diadakan setiap Ahad bermula 7 pagi hingga 1 tengah hari ini, sering menjadi tumpuan kerana di sinilah pelbagai hasil kampung yang sukar diperoleh di tempat lain dapat dibeli dengan mudah.

Jika bernasib baik, pengunjung yang datang bukan sahaja berpeluang membeli patin sangkar dengan harga murah, tetapi juga ikan patin buah atau ikan patin liar dari nelayan sungai yang menjaja hasil tangkapan mereka secara terus kepada pelanggan.

Yang penting, hanya siap wang secukupnya kerana anda pasti rambang mata apabila melihat pelbagai barangan yang dijual di sini.

Selain patin, sayur kampung dan kuih-muih tradisional, terdapat produk lain yang sering kali menjadi tumpuan ramai di pasar pekan sehari ini iaitu kopi dikisar sendiri oleh seorang warga emas, Wong Tiang Kuang 75.

Beliau yang telah menjalankan perniagaan menjual kopi itu sejak 40 tahun lalu, mewarisi kemahiran memproses biji kopi mentah, menggoreng dan mengisarnya daripada mendiang ayahnya, Wong Peng sejak 1975.

"Bekalan kopi mentah saya peroleh daripada saudara di Melaka dan saya bancuh, goreng dan kisar sendiri biji kopi ini di sini, itu yang membangkitkan kopi ini aroma kopi ini sehingga ramai yang tertarik untuk membelinya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

-foto BERNAMA

Wong berkata biji kopi itu digoreng menggunakan mesin khas berenjin petrol setelah diubah suai dan hasil yang siap dikisar dijual dengan harga RM14 sekilogram.

"Tiada resepi rahsia pada kopi, cuma mungkin disebabkan ia dimasak dan dihancurkan di hadapan pelanggan yang mungkin menjadi daya penarik utama kopi ini," katanya.

Sementara itu, Datuk Akbar V V Abu berkata beliau menjadi pelanggan tetap kopi pekan sehari Wong sejak kecil lagi.

"Saya kenal Wong ini sejak kecil, masa itu dia dan bapanya berniaga di sini dengan  motosikal.

"Memang ini yang saya cari setiap kali ke Pekan Sehari Temerloh kerana aroma dan rasanya yang berbeza berbanding kopi lain," katanya ketika ditemui semasa membeli kopi itu baru-baru ini.

Hayati Muhamad, 53, berkata dia tinggal di Kuala Lumpur dan akan mencari kopi Pekan Sehari Temerloh setiap kali pulang ke kampung halaman isterinya di Bera.

"Rasa kopi dia ini memang sedap, kalau di Kuala Lumpur orang jual kopi dah siap bungkus cantik, di sini Uncle Wong bancuh sendiri biji kopi di depan kita …itu yang  membuatkan kita jatuh cinta, lain macam rasanya," katanya. -Bernama

Artikel Lain