suria

“Mula-Mula Tak Minat, Bila Dah Sampai Jatuh Cinta!”

Tasik Maninjau dari Kelok 37.

PELAWAAN ibu untuk ke Bukit Tinggi, Indonesia pada mulanya ditolak penulis kerana menganggap ia adalah lokasi biasa seperti kota lain di negara jiran itu.

Namun, selepas diberitahu satu daripada lokasi adalah melawat rumah kelahiran tokoh ulama, pemimpin dan penulis terkemuka Indonesia, Prof Dr Abdul Malik Syeikh Abdul Karim atau lebih terkenal dengan panggilan Hamka, barulah terbuka pintu hati untuk ke bumi Minangkabau itu.

Tanggapan bahawa kota ini hanyalah lokasi biasa seperti tempat lain ternyata meleset sebaik melihat keindahan kawasan bergunung-ganang dengan sawah terbentang selain rumah kediaman penduduk tempatan yang comel dan ada ketikanya kelihatan mengadaptasi seni bina Eropah.

Bergambar di hadapan Istana Pagaruyung

Bercerita mengenai daerah ini, ia amat dekat dengan hati rakyat Malaysia kerana juadah yang dihidangkan di restoran ada dijual di Malaysia, juga bahasa pertuturan dengan slang Minang yang rata-rata kita biasa mendengarnya terutama apabila berjumpa dengan 'geng nogori'.

Pemandangan indah sepanjang ke Bukit Tinggi.

Lebih menarik, bentuk muka bumi bergunung dan berbukit di Bukit Tinggi menyumbang kepada faktor cuaca yang nyaman seperti di Cameron Highlands.

Nah, mari kita kongsi lokasi yang wajib disinggah jika berpeluang ke daerah ini.

Kagum dengan keindahan Tasik Maninjau

Terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Buki Tinggi, Tasik Maninjau seluas 16 kilometer panjang dan tujuh kilometer lebar ini, adalah tasik air tawar yang terjadi akibat letusan gunung berapi sejak ribuan tahun lampau.

Keindahan Tasik Maninjau yang menghijau dari jauh, turut popular dengan sukan paragliding dalam kalangan peminat sukan lasak itu di bahagian Sumatera Barat.

Merakam gambar di Kelok 37

Dikenali sebagai Kelok 44 kerana jalan berliku untuk sampai ke Tasik Maninjau ini mempunyai 44 selekoh tajam dan setiap pengunjung menaiki bas pasti akan merasakan seriaunya.

Bagi yang mudah mabuk jika melalui jalan bengkang bengkok, seeloknya makan ubat mabuk terlebih dulu.

Kulit kayu manis dijemur di tepi jalan sepanjang ke Bukit Tinggi.

Namun, kengerian melalui jalan berliku itu terubat sebaik tiba di Kelok 37.

Ini kerana, pemandangan Tasik Maninjau paling indah adalah di lokasi ini.

Lazimnya, di sini bas atau kenderaan sewa yang dinaiki akan berhenti bagi membolehkan pelancong menghabiskan masa merakam keindahan tasik yang membiru dari jauh.

Lebih menarik, satu binaan senibina ala Minangkabau menambah keindahan landskap Tasik Meninjau dari Kelok 37, selain hamparan sawah menghijau yang mampu menambah kedamaian di hati.

Dengar kisah kehidupan Hamka di Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka


Dilahirkan dan dibesarkan di sebuah rumah kecil  di bahagian barat Tasik Meninjau yang indah dengan bukit bukau di kiri kanan  tasik, membuatkan penulis terfikir patutlah Hamka mampu menghasilkan karya indah kerana suasana yang mendamaikan tentunya mampu memberikan ilham.

Kini, rumah yang dibina dengan senibina Minangkabau ini dijadikan Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka sejak tahun 2001.

Muzium ini turut menempatkan banyak hasil karya penulis buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini dan juga gambar-gambar beliau serta aktivitinya.

Lebih bernasib baik, pelawat juga berpeluang mendengar sendiri cerita dan kisah hidup Hamka daripada anak saudaranya, Pak Hanif selain dapat membeli hasil karya tokoh itu.

Klasiknya binaan Istana Pagar Ruyung


Istana Pagaruyung

Kira-kira 55 kilometer dari kota Bukit Tinggi, letaknya Istana Baso atau Istana Pagaruyung di daerah Batusangkar, satu lokasi wajib dikunjungi jika ke sini.

Istana ini antara tarikan pelancong di Sumatera Barat kerana keunikan dan keindahan senibina Minangkabau.

Kuih biko Telago wajib dirasa jika ke Bukit Tinggi.

Banyak cerita dan maklumat menarik mengenai istana ini termasuk rekaan uniknya bagi mengelakkan gempa bumi dan kisah kebakaran yang pernah meranapkan sebahagian struktur binaannya.

Bagi yang mahu mencuba pakaian tradisional istana Minangkabau, bolehlah menyewanya di istana ini. Bergambar dengan pakaian tradisi tentunya meninggalkan kenangan  menarik.

Sebelum pulang, jangan lupa untuk membeli minyak panas yang hanya dijual dalam istana itu sebagai ole-oleh untuk dibawa pulang.

Artikel Lain