Jangan Terlepas Ke Niujie, 'Lubuk Halal' Beijing! - Destinasi | mStar

Jangan Terlepas Ke Niujie, 'Lubuk Halal' Beijing!

Penduduk tempatan China tanpa mengira agama beratur membeli makanan halal di kedai sepanjang Jalan Niujie di Beijing.

KUNJUNGAN pertama kali yang diputuskan secara spontan bagaikan terlalu singkat. Tidak berkesempatan merakam banyak kenangan sekitar Niujie menyebabkan kami merancang untuk ke sana lagi.

Tempoh empat hari di Beijing bersama keluarga baru-baru ini digunakan sepenuhnya untuk berkunjung ke destinasi yang diingini memandangkan jadual perjalanan diatur sendiri, jadi lebih bebas ke mana sahaja.

Hari kedua di bandar ini, kami makin mahir menggunakan laluan tren bawah tanah - Subway. Yang penting perlu tahu stesen paling dekat untuk ke lokasi dituju. Cuma perlu banyak berjalan, naik turun stesen untuk ke setiap destinasi.

Langkah diatur perlu pantas, lebih-lebih lagi matahari terbenam lebih cepat di negara ini dan sebab itu jugalah pada pukul 6.30 petang, umat Islam di bandar raya itu sudah menunaikan solat Isyak.

Laluan masuk ke Masjid Niujie yang tidak lagi digunakan, namun dipelihara sebagai warisan negara itu.

Jadi, kami perlu mengatur rancangan untuk tiba di Niujie bagi menikmati makan tengahari di sana kerana pelbagai pilihan makanan halal tersedia di sepanjang jalan di situ.

Perjalanan ke kawasan Jalan Niujie ketika suhu harian mencecah serendah 3 darjah celsius itu bagaimanapun berbaloi kerana banyak restoran makanan halal di sepanjang laluan itu, terutama yang berasaskan daging.

Selepas makan tengah hari dan ketika berjalan di laluan itu kelihatan penduduk tempatan berbaris panjang membeli sesuatu. Bukan di sebuah kedai, malahan di beberapa premis di kiri dan kanan jalan itu.


Apa lagi, naluri ingin tahu membuatkan kami meninjau kawasan itu dan barulah tahu sebenarnya ada yang beratur untuk membeli pau, roti berinti dan juga daging segar sama ada kambing atau lembu, sesuai dengan maksud 'niujie' itu sendiri iaitu jalan lembu, sebagai simbolik kerana laluan itu dipenuhi penjual daging lembu halal.

Cubaan untuk beratur bagi merasai roti berinti yang masih panas itu mengambil masa kira-kira setengah jam. Rasanya bagaikan karipap di negara ini, cuma isinya daging dan lobak putih. Memang sedap!

Azan Yang Sepi

Jejak seterusnya tentunya untuk singgah ke Masjid Niujie, satu daripada 68 masjid di bandar itu.

Ruang dalam dewan Masjid Niujie yang dipenuhi warna hijau dan merah.

Kali pertama ke masjid tertua di Beijing itu, kami empat beranak hanya sempat menunaikan solat di dewan yang disediakan, ketika itu timbul persoalan mengenai laungan azan kerana tidak nampak pembesar suara dipasang di situ.

Namun, pada kunjungan kedua baru jelas semuanya. Unik sekali kerana laungan azan di Masjid Niujie agak 'sepi' kerana ia tidak menggunakan pembesar suara, tetapi cukup sekadar dilaungkan di luar dewan solat. Mudah cakap, azan hanya untuk orang berkenaan sahaja iaitu umat Islam di kawasan sekitarnya.

Mengikut catatan sejarah, Masjid Niujie kali pertama dibina pada 996 dan dibina semula untuk tujuan pembesaran ketika di bawah Maharaja Qing Kangxi (1622-1722).

Masjid yang terletak di Niujie, daerah Xuanwu itu juga adalah kawasan yang menempatkan lebih 10,000 umat Islam, sekali gus menjadikan ia kawasan terbesar didiami umat Islam di Beijing.

Kompleks masjid ini meliputi kawasan kira-kira 6,000 meter persegi dengan menampilkan seni bina campuran budaya Islam dan Cina. Dari luar, gaya seni binanya menunjukkan pengaruh Cina sementara bahagian dalamnya mempunyai kebanyakannya hiasan Islam.

Antara premis makanan halal yang menjadi tumpuan umat Islam dalam dan luar negara di Niujie.

Malahan di situ jugalah umat Islam bukan sahaja dalam kalangan penduduk China, malahan menjadi tumpuan muslimin dan muslimat yang juga penuntut asing di institusi negara itu untuk mendapatkan bekalan makanan halal.

Bagi yang berhajat merancang perjalanan ke Beijing, apa kata tandakan Niujie sebagai lokasi yang bakal dilawati kerana tentunya ia dapat memberi kepuasan terutama apabila berpeluang menikmati hidangan halal yang lain dari yang lain.



Niujie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acheh, Lawatan Indah Penuh Keinsafan!