suria

Monorel Melaka Gamit Pelancong

Monorel Melaka yang mula beroperasi mulai 4 Disember menarik perhatian pengunjung ke Melaka. -fotoBERNAMA

SEMPENA musim cuti sekolah ini, orang ramai khususnya ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mereka menaiki Monorel Melaka terletak di tepi Sungai Melaka yang beroperasi semula pada 4 Disember.

Tinjauan Bernama mendapati pelancong tempatan dan luar negara tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menyaksikan keindahan Bandaraya Melaka dengan menaiki monorel itu dan mula berbaris di kaunter yang mula dibuka 10 pagi.

Seorang pengunjung dari Kajang, Selangor iaitu Amir Abu Bakar, 37, berkata beliau dan keluarga menaiki monorel itu secara kebetulan selepas melihat pengangkutan awam itu beroperasi, ketika mereka bersiar-siar di sekitar pusat beli-belah yang terletak di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini.

"Kami memang tak rancang pun nak naik pada awalnya, ini pun kebetulan ternampak monorel ini beroperasi jadi memang kami tak lepaskan peluanglah merasai pengalaman baharu ini.

"Kira ini langkah kanan memandangkan kali pertama kami menaiki monorel di sini. Anak-anak pun berasa teruja sebab ia memberi pengalaman berbeza lihat keindahan dan keunikan negeri ini dari atas," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Pengunjung Amir Abu Bakar, 37, membawa keluarganya menaiki Monorel ketika berkunjung ke Melaka. -fotoBERNAMA

Monorel sepanjang 1.6 kilometer itu menghubungkan Taman Rempah ke Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya, dan dibina dengan kos RM16.5 juta bagaimanapun digantung perkhidmatan pada 2013 akibat masalah teknikal.

Seorang lagi pengunjung Mona Liza Mohd Yusop, 53, berkata sebagai anak jati negeri itu, beliau berasa bangga apabila Melaka kini mempunyai satu lagi nilai tambah, produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Saya berharap agar promosi mengenai daya tarikan yang baharu ini akan lebih giat dijalankan bagi menarik lebih ramai pelancong lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah ini.

"Selain itu, diharap pihak berkaitan lebih menitikberatkan aspek dan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan inisiden sama daripada berulang," katanya yang berkunjung bersama keluarga dan rakan-rakannya.

-fotoBERNAMA

Seorang guru Azlina Ramli, 36, yang bertugas di Kuala Lumpur berkata harga tiket yang ditawarkan amat berpatutan dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Namun saya berharap agar penambahbaikan dapat dilaksanakan termasuk sistem penyaman udara selain diperluaskan lagi laluannya kepada lokasi pelancongan strategik di negeri ini.

"Selain itu, harap dapat berhenti di beberapa lokasi menarik sekitar perjalanan agar pengunjung dapat merakamkan kenangan dengan mengambil gambar," kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Perkhidmatan monorel itu beroperasi 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan harga tiket yang ditawarkan RM10 untuk semua peringkat umur bagi promosi bulan pertama.

Tiket dijual di kaunter aras satu Bangunan Monorel, Stesen Tun Ali dan perkhidmatan monorel itu dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada hari Jumaat dan Sabtu. -Bernama

monorel Melaka

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain