suria

Tempoh PKP buka pintu rezeki buat pemain Kedah... Azmeer kini tauke ikan!

Azmeer mengambil peluang menambah rezeki sepanjang PKP dilaksanakan dengan menjual ikan bersama sepupunya.

BERMULA dengan niat mengeluarkan modal bagi membantu sepupunya memulakan perniagaan, pemain pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof kini bergelar tauke ikan.

Azmeer pemain kelahiran Taiping, Perak ini sama sekali tidak menyangka mereka berdua boleh menjalankan perniagaan menjual ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19.

Sebelum PKP bermula, pemuda berusia 29 tahun itu hanya mahu membantu sepupunya yang mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjalankan perniagaan pembersihan sampah.

ARTIKEL BERKAITANKrisis Covid-19 ukir pengalaman berharga buat pemain Melawati FC - “Suasana cukup lain daripada lain... ia penerbangan paling tidak saya lupakan”

Namun ekoran lanjutan tempoh PKP, sepupunya, Hazali Hamid, tidak dapat memulakan perniagaan itu dan selepas berbincang, mereka berdua mencapai kata sepakat menjalankan perniagaan menjual ikan.

Mula jual ikan

"Saya dengan sepupu cukup rapat sejak kecil kerana dia banyak membantu perkembangan karier saya sejak aktif bermain bola sepak.

"Sebagai membalas jasanya, saya telah belikan lori dan tiga tong sampah sebagai permulaan perniagaan pembersihan sampah.

Azmeer bersama sepupunya menjalani perniagaan jual ikan sepanjang PKP ini.

"Bagaimanapun hasrat itu tidak dapat diteruskan buat masa ini, jadi kami ambil keputusan menjual ikan memandangkan saya tahu saluran mendapatkan ikan terus daripada peraih di Kedah.

"Bermula daripada 500 kilogram pengambilan bekalan ikan, kami boleh menjual sekitar 1.2 tan ke 1.3 tan sehari di sekitar Kuala Lumpur.

"Memang sama sekali tidak sangka sambutan cukup baik dalam tempoh lebih seminggu ini dan Alhamdulilah pulangannya begitu lumayan bagi kami berdua," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Impian tubuh syarikat pembersihan sampah

Azmeer merupakan antara pemain berpengalaman di posisi pertahanan kiri Liga Malaysia serta pernah bermain dengan banyak pasukan terkemuka seperti Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan kini bersama Kedah.

Bagaimanapun, dia tidak berhasrat meneruskan perniagaan ikan untuk jangka masa panjang kerana sudah ada cita-cita tersendiri bagi menubuhkan syarikat pembersihan sampah selepas bersara daripada dunia bola sepak.

Aksi Azmeer (kanan) bersama Kedah.

"Mungkin selepas PKP berakhir, kami akan serahkan perniagaan ini kepada sepupu lain yang telah menyuarakan minat untuk mengambil alih, manakala Hazali akan kembali fokus kepada perniagaan pengurusan pembersihan sampah.

"Niat saya mahu meneruskan legasi perniagaan ayah yang mengusahakan syarikat pengurusan sampah, sekali gus membolehkan ayah berehat apabila saya mengendalikan perniagaan ini sepenuh masa," katanya.

Sediakan payung sebelum hujan

Azmeer juga menggesa pemain-pemain lain agar boleh ikhtiarkan sesuatu dalam mencari pendapatan sampingan memandangkan banyak pasukan akan ambil langkah pemotongan atau penangguhan gaji dalam tempoh PKP ini.

Azmeer percaya setipa pemain perlu memikirkan cara terbaik menjana pendapatan sendiri.

"Bagi tempoh ini, saya rasa pemain kena fikirkan cara terbaik menjana kewangan sendiri terutama melalui berniaga kerana sepanjang PKP ini, semua pasukan pasti terjejas.

"Jadi kena ada langkah alternatif jika situasi ini terjadi bagi memastikan segala keperluan asas kita tidak terjejas dalam hadapi situasi ini.

"Saya juga kena bijak membahagikan masa melakukan program kecergasan di rumah seperti yang diarahkan oleh pihak kejurulatihan," katanya.

Azmeer, pertahanan, Kedah, Jual Ikan, PKP

Artikel Lain