“Selesaikan hutang sebelum beli pemain” - Hamidin

Hamidin yakin kesan pelaksanaan ECP sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun.

LIGA Malaysia musim baharu dibuka dengan setiap pasukan begitu bersemangat untuk memulakan aksi, namun ada sesuatu yang akan turut mencuri perhatian.

Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diperkenal oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim baharu ini bakal menjadi garis pengukur kepada semua pasukan untuk berbelanja dengan bijak.

Pelaksanaa secara berperingkat tahun ini sebelum menyeluruh dan lebih ketat pada tahun 2021.

ECP yang sebelum ini telah dipratikkan di LaLiga (Liga Sepanyol), bakal menjadi satu anjakan paradigma bola sepak tempatan dalam usaha mendidik pasukan-pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah dan bebas hutang membabitkan tunggakan gaji.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui ECP adalah yang terbaik setakat ini dalam menguruskan perbelanjaan untuk setiap kelab atau pasukan.

"ECP memang langkah yang terbaik tetapi perlu menguat kuasakan. Kita juga tidak boleh tengok perubahan dalam tempoh dua atau tiga bulan pelaksaannya, tetapi sekurang-kurangnya tiga tahun."

Jelas Hamidin, pelaksaan ECP tidak akan gagal, tetapi boleh gagal dari segi kuatkuasa.

"Saya masih pelik lagi dengan segelintir pasukan yang berbelanja membeli pemain tanpa mengambil kira kemampuan sendiri.

"Hutang-hutang lama masih bertimbun tetapi sudah membeli pemain baharu," jelasnya dalam satu majlis FAM-MFL bersama Media.

Liga Malaysia musim 2020 membuka tirainya pada 28 Februari.

Tambah Hamidin, pasukan yang mempunyai bajet terhad sepatutnya perlu bijak berbelanja.

"Sepatutnya mereka selesaikan hutang-hutang dulu dan barulah beli pemain. Sekurang-kurangnya boleh mengawal 'damage' sebelum ini.

"Memang kita tahu, semua pasukan yang menyertai Liga Malaysia mahu menjulang trofi Piala FA atau Piala Malaysia, tetapi caranya tidak sesuai.

"Kalau mereka tidak serik dan tidak mengamalkan perbelanjaan berhemat, akhirnya masalah kepada mereka sendiri. Piala tak dapat, hutang bertambah.

"Tetapi ada juga pasukan yang berusaha menyelesaikan hutang-hutang mereka dan membuat perancangan bayaran hutang mengikut syarat atau SOP (Prosedur Operasi Standard)," katanya.

Dalam pada itu, Hamidin turut memberi komen mengenai situasi politik semasa berkaitan dengan presiden persatuan yang mempunyai hutang.

"Situasi semasa politik tidak boleh dicampur aduk dengan bola sepak. Kita tetap ikut peraturan... tak kira siapa yang memegang jawatan dan berdepan dengan pertukaran, bermakna presiden baharu akan memikul masalah hutang-hutang pasukan.

"Sesiapa yang memegang jawatan presiden, dia bertanggungjawab. Maksud ini jelas yang termaktub dalam statut Fifa, AFC dan FAM bahawa nombor satu adalah bola sepak terkecuali daripada politik, bangsa dan agama," tegasnya.

Datuk Hamidin Mohd Amin, FAM, MFL, ECP

Artikel Lain