suria

Perenang cilik Johor terima suntikan semangat

Rouxin (tiga dari kanan) bakal beraksi pada temasya Sukma Johor Julai ini.

ISKANDAR Investment Berhad (IIB) meneruskan agenda memperkasa pembangunan bakat sukan tempatan dengan menaja perenang cilik Tan Rouxin yang bakal beraksi pada temasya Sukma 2020 bermula 11 hingga 19 Julai nanti.

Penajaan terhadap Rouxin, yang baru sahaja berumur 14 tahun membabitkan kos latihan intensif serta keperluan yang bersesuaian yang dianggarkan keseluruhan bernilai kira-kira RM15,000.

Pada tahun 2018 mencatatkan pencapaian yang gemilang buat Rouxin, selepas dinobatkan sebagai Atlet Harapan di Hari Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE)- MSSM Milo 2018 selain menggondol pingat emas dan perak di kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Rouxin telah menjalani latihan secara intensif sejak enam tahun lalu di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan EduCity (ESC) yang dibangunkan EduCity, sebuah syarikat subsidiari milik Iskandar Investment Berhad.

Kini, Rouxin akan mewakili Johor sebagai antara atlet termuda di Sukma 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad memaklumkan tajaan tersebut diberi bagi memberi suntikan motivasi buat Rouxin untuk terus meraih kejayaan gemilang untuk negeri Johor dan juga Malaysia.

“IIB sentiasa percaya dan yakin dalam mengembangkan bakat-bakat tempatan di Johor, dan ini seiring dengan aspirasi kami untuk bertindak sebagai pemangkin perubahan.

“Sokongan sebegini membolehkan bakat-bakat tempatan untuk mengikuti program pembangunan sukan berstruktur untuk mencapai prestasi optimum mereka.

“Kemudahan Pusat Akuatik, Kompleks Sukan EduCity yang tersedia dibina khas seiring dengan piawaian Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) seperti kolam renang bersaiz Olimpik, ‘touch pad’, papan skor elektronik dan kolam pemanas badan menjadikannya sebagai medan latihan terbaik dalam menghasilkan juara renang.

“Rouxin melalui latihan intensif di ESC telah membuktikan kesungguhan serta kegigihannya mencapai kejayaan dan IIB sangat gembira untuk membantu beliau. Kami ucapkan selamat maju jaya di SUKMA dan kejohanan seterusnya,” tegas Khairil.

Selain itu, IIB turut mengalu-alukan kehadiran para atlet untuk berlatih di ESC sebagai salah satu hasrat IIB membangunkan bakat-bakat tempatan melalui program pembangunan sukan selain misi menjadikan ESC sebagai hab sukan tanah air.

Renang, Cilik, Johor, Tajaan, IIB

Artikel Lain