Padah buat lawak Covid-19, bintang Tottenham didakwa

Dele Alli dikecam kerana didakwa bersikap rasis. Foto Daily Star Sunday

BINTANG Tottenham, Dele Alli dikenakan tindakan oleh persatuan bolasepak (FA) selepas menyiarkan video di media sosial yang membuat gurauan mengenai koronavirus (Covid-19).

Alli berdepan dengan hukuman selepas memuat naik video menerusi aplikasi Snapchat yang menunjukkan dia membuat jenaka mengenai wabak itu.

Menerusi pendedahan secara eksklusif oleh Daily Star, Alli juga kelihatan cuba menyindir seorang lelaki Asia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bintang Tottenham dikecam rasis rakam video kaitkan lelaki Asia dengan koronavirus

Pemain tengah itu telah memadamkan posting tersebut sebelum mengeluarkan video baharu menerusi platform media sosial China, Weibo untuk membuat permohonan maaf.

Alli berkata: "Ia tidak lucu dan saya menyedarinya serta-merta dan memadamkannya, saya membiarkan diri saya dan kelab dikecam.

"Ia bukan sesuatu yang patut menjadi bahan lucu. Saya mahu menyebarkan kasih saya dan ingatan saya serta doa kepada semua di China," katanya.

Bagaimanapun, FA memutuskan untuk mengenakan tindakan terhadap bintang England itu dengan kenyataan: "Dele Alli telah didakwa melakukan salah laku kerana melanggar Peraturan FA E3 berhubung postingnya di media sosial.

"Dia diberikan tempoh sehingga Khamis 5 Mac 2020 untuk menjawab surat tunjuk sebab," menurut kenyataan itu. - Daily Star



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain