suria

Covid-19: Malaysia tetap hantar kontinjen ke Sukan Olimpik Tokyo

Sukan Olimpik Jepun bakal berlangsung Julai ini.

MALAYSIA akan tetap menghantar atlet bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai ini, walaupun wujud kebimbangan berhubung penularan wabak Covid-19.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), berhubung penangguhan atau pembatalan temasya sukan terbesar dunia itu yang dijadual berlangsung dari 24 Julai sehingga 9 Ogos ini, di Jepun.

"Sehingga kini, kita masih belum menerima sebarang arahan penangguhan atau pembatalan Sukan Olimpik Tokyo 2020, jadi kita tetap akan menghantar atlet negara seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Ahli jawatankuasa IOC Dick Pound, yang merupakan bekas juara renang dari Kanada dalam satu temuramah bersama sebuah agensi berita antarabangsa semalam, melahirkan kebimbangan Sukan Olimpik 2020 mungkin ditangguh atau dibatalkan oleh Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo susulan penularan wabak COVID-19.

Wabak berkenaan yang bermula di Wuhan, China sejak Disember lepas, dilaporkan telah meragut empat nyawa dan menjangkiti 130 individu di Jepun.Sebelum ini, Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro tetap berjalan seperti biasa walaupun wujud kebimbangan dalam kalangan negara bertanding berhubung penularan virus Zika, di negara Amerika Selatan itu.

Atlet negara yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo adalah ratu gimnas, Farah Ann Abdul Hadi bagi acara all-around individu; pelayar -- Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (International 470 wanita); serta pemanah lelaki negara, Khairul Anuar Mohamad dalam acara recurve.Empat atlet terjun negara turut menempah tiket ke Tokyo iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3 meter papan anjal wanita, serta Pandelela (10m platform wanita) selain gandingan Pandelela-Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain