Juara dua kali peringkat LTdL Hariff terpilih wakili skuad lebuh raya negara ke ACC

Hariff bakal beraksi bersama skuad lebuhraya negara dalam aksi ACC tahun ini. Foto: Bernama

PENCAPAIAN cemerlang di Kejohanan Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL 2020) membolehkan pelumba lebuh raya negara Mohd Harrif Saleh terpilih mewakili negara ke  Kejohanan Lumba Basikal Asia 2020 (ACC 2020).

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata pihaknya memandang serius pencapaian pemecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu pada LTdL 2020, baru-baru ini.

“Harrif muncul juara dua perlumbaan peringkat LTdL 2020. Pencapaian itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Pencapaiannya itu ialah satu merit yang amat ketara.Kejayaan ini membuktikan beliau sebagai pemecut bertaraf dunia dan berpeluang untuk menang pingat di ACC 2020," katanya dalam satu kenyataan media.

Abu Samah berkata juara acara acara beramai-ramai individu lelaki pada ACC 2020 nanti akan dianugerahkan tiket automatik untuk ke Kejohanan Lumba Basikal Sedunia di Switzerland, Oktober depan.

Dalam masa sama Abu Samah turut memberi bayangan bahawa pelumba berpengalaman Mohd Fauzan Ahmad Lutfi akan kembali menyarung jersi Malaysia bagi memperkuatkan skuad ujian masa berpasukan di ACC 2020.

Mohd Fauzan akan kembali digandingkan bersama pemenang pingat emas acara basikal ujian masa berpasukan lelaki Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur iaitu Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Ameen Ahmad Kamal dan Nik Mohd Azwan Zulkiflie.

ACC 2020 pada awalnya dijadualkan diadakan pada Mac ini dan penyertaannya sudah pun melebih 650 peserta namun ekoran penularan wabak COVID-19, ACC memutuskan untuk menunda kejohanan itu bagi mengelak virus berkenaan menular di Malaysia.

Abu Samah berkata PKBM akan menyerahkan beberapa tarikh baharu penganjuran ACC 2020 selepas penundaan kejohanan susulan penularan wabak COVID-19.

“Kita akan beri beberapa tarikh kepada ACC ( Konfederasi Berbasikal Asia). Antaranya bermula 30 Jun dan berakhir 5 Julai. Bagaimanapun, terpulanglah kepada ACC untuk menentukan tarikh ACC 2020," katanya.-Bernama

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi