suria

Belasah Club Brugge 5-0, Solskjaer puji kualiti Ighalo sebagai 'penyerang tulen'

Ighalo menjaringkan gol pertamanya buat Manchester United ketika menentang Club Brugge dalam saingan Europa League. Foto: AP

OLE Gunnar Solskjaer telah memuji persembahan yang dipamerkan oleh Odion Ighalo selepas dia menjaringkan gol pertamanya untuk Manchester United ketika bertemu Club Brugge pada awal pagi Jumaat.

Ighalo juga pertama kali diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan tersebut.

Penyerang yang berasal dari Nigeria itu menjaringkan gol sulungnya pada minit ke-34 dalam kemenangan 5-0 yang berlangsung di Stadium Old Trafford.

Dalam pada itu, Solskajer berkata yang dia tertarik akan kualiti permainan Ighalo.

"Odion (Ighalo) melakukan apa yang perlu dibuat oleh seorang penyerang. Kawalan bolanya adalah bagus dan dia boleh bermain bersama-sama Bruno (Frenandes) dan Juan (Mata).

Solskjaer gembira dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya ketika menentang Club Brugge. Foto: REUTERS

"Saya juga pernah bermain di posisi penyerang. Saya tahu betapa pentingnya gol tersebut buat Ighalo. Sudah beberapa kali dia hampir menjaringkan gol sebelum ini. Dia mempunyai naluri seorang pemain penyerang," ujar Solskjaer.

Pemain tengah, Fred, turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut pada minit ke-81 dan minit ke-90.

"Untuk melihat dia menjaringkan gol lagi, saya tidak pasti adakah saya masih hidup atau tidak," kata Solskjaer sambil tersenyum.

"Satu dengan gol dijaringkan dengan kaki kiri dan satu gol lagi menggunakan kaki kanan. Sudah tentu saya sangat terpukau melihatnya.

"Kehadiran Bruno (Fernandes) juga memberikan impak penting kepada pasukan. Kita boleh lihat dia terlibat dalam melakukan gerakan ketiga-tiga gol pertama pasukan.

Club Brugge beraksi dengan 10 pemain selepas Simon Deli (paling kanan) dilayangkan kad merah kerana memegang bola di dalam kotak penalti. Foto: AP

Sementara itu, jurulatih Club Brugge, Philippe Clement merasakan pasukannya tewas disebabkan mutu pengadilan yang teruk.

Dia juga merasakan insiden memegang bola yang dilakukan Simon Deli tidak patut diberikan layangan kad merah.

"Ia adalah reaksi spontan dan bukannya disengajakan. Dia beraksi dengan cemerlang sepanjang musim ini untuk kelab," ujar Clement. 

Kemenangan 5-0 ke atas Club Brugge ini melayakkan Manchester United layak ke pusingan 16 saingan Europa League. - Sky Sports

Artikel Lain