suria

“Pilih pemain naturalisasi tak dibuat sesuka hati” - Pengurus Harimau Malaya jawab isu bantah kerakyatan Liridon

Liridon kini beraksi dengan kelab JDT. Foto kredit: Liridon/JDT

STATUS warganegara Malaysia yang diterima Liridon Krasniqi ternyata tidak disenangi oleh sekumpulan masyarakat di Kuching, Sarawak.

Ia timbul selepas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu secara rasminya menerima pasport dan MyKad Malaysia minggu lalu.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui tidak semua perkara boleh diterima ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Liridon kini sah jadi warga Malaysia, layak sarung jersi Harimau Malaya

ARTIKEL BERKAITAN: Cheng Hoe harap sentuhan berbisa Liridon dalam skuad Harimau Malaya

"Bagi saya tidak ada isu dengan kewarganegaraan Liridon kerana semuanya adalah kelulusan imigresen dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) yang tahu hasrat FAM untuk mewujudkan pemain naturalisasi bagi diserapkan ke skuad negara.

"Pendapat saya, semua warga bola sepak mesti setuju dengan adanya pemain naturalisasi ini untuk membantu pasukan kebangsaan.

"Kita di FAM bukan hanya mahu melihat pasukan negara bersaing di peringkat Asean tetapi sudah tiba masanya bermain di rantau Asia.

"Dan kita tahu, kalau bemain di peringkat Asia sudah tentu akan berdepan dengan pasukan-pasukan gergasi.

"Kalau kita tidak persiapkan pasukan negara sekarang, berapa tahun lagi kita perlu tunggu untuk ke pentas Asia (tanpa pemain naturalisasi)?," jelasnya kepada mStar.

Mohd Yusoff turut memberitahu, negara Asean seperti Indonesia, Thailand sudah mempunyai pemain-pemain naturalisasi sendiri.

"Saya bukan menidakkan bakat pemain-pemain tempatan, tetapi hakikatnya perlu mengikut perkembangan bola sepak pasukan lain.

"Sekarang kita sudah melihat perubahan dalam skuad kebangsaan selepas Muhamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama dan beraksi dalam skuad negara.

"Kita nampak ada perubahan dan ia memberi semangat kepada pemain-pemain tempatan untuk lebih bersaing dengannya.

"Bagi saya kehadiran pemain naturalisasi sekarang adalah penting dalam pasukan negara," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mendedahkan pemilihan pemain-pemain luar negara bukan dibuat sesuka hati.

"Kita ada Jawatankuasa Teknikal yang menjalankan penilaian terhadap pemain-pemain yang dilihat boleh diserapkan ke pasukan negara.

"Kita ada jurulatih B. Satianathan, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe serta Pengarah Teknikal Peter de Roo.

"Apabila telah dinilai dan melepasi pemantauan penilaian dua nama dicadangkan adalah Liridon dan Guilherme De Paula (Kuala Lumpur)," jelasnya.

Tambah Mohd Yusoff, prestasi Liridon perlu dilihat terlebih dahulu sebelum diserapkan ke skuad Harimau Malaya.

"Semua itu terpulang kepada coach Cheng Hoe. Beliau lebih kenal dengan Lidiron (ketika bersama Kedah)," ujarnya ringkas.

Artikel Lain