suria

Liridon kini sah jadi warga Malaysia, layak sarung jersi Harimau Malaya

Liridon menunjukkan kad pengenalan Malaysia miliknya yang diterima pada Isnin. Foto: FAM

PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) Liridon Krasniqi kini layak menyarung jersi Harimau Malaya apabila secara rasminya telah menjadi warganegara Malaysia.

Liridon merupakan pemain kelahiran Kosovo yang tiba di Malaysia pada tahun 2015 bagi menyertai pasukan pertamanya dalam Liga Super, Kedah.

Sepanjang tiga tahun bersama skuad Lang Merah, pemain berusia 28 tahun ini atau lebih dikenali dengan panggil 'Matdon'  bukanlah asing dalam kalangan peminat-peminat bola sepak tempatan.

ARTIKEL BERKAITANSumareh kini status pemain tempatan

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam memberitahu, program pengambilan pemain naturalisasi bagi memperkasakan lagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kini mengorak langkah yang seterusnya apabila pemain itu menjadi warganegara Malaysia.

"Inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk  Hamidin Mohd Amin sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

"Ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat - jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac 2019.

Stuart memerhati Liridon menandatangai dokumen diri di FAM pada Isnin. Foto: FAM

"FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas dia menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, sebentar tadi (Isnin)," jelasnya dalam satu kenyataan kepada media.

Liridon kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi apabila dia hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada Fifa bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

"Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan.

"FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri  Muhyiddin Mohd Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini."

Sebagai rekod, selepas beraksi bersama Kedah, Liridon menyarung jersi Melaka United sebelum mengikat kontrak bersama kelab juara bertahan Liga Super, JDT musim 2020 ini.

Artikel Lain