suria

“Tak perlu tahu jumlah tajaan…” TM kembali jadi penaja utama MFL, kenapa rahsiakan nilai?

Moharmustaqeem bertukar dokumen bersama Abd (dua, kanan) selepas majlis tanda tangani tajaan TM-MFL pada Jumaat. Tulut kelihatan Hamidin (kanan) dan Izlyn Ramli (Naib Presiden Komunikasi Kumpulan TM). Foto: The Star/SAMUEL ONG

SELEPAS hampir setahun 'bercerai', Telekom Malaysia (TM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kembali menjalin bekerjasama untuk tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun menjadi tanda tanya apabila kedua-dua pihak enggan mendedahkan jumlah tajaan untuk kontrak yang bermula tahun ini.

Menurut Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk tidak mendedahkan angka sebenar kepada umum.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya kecewa tindakan TM" - TMJ umum MFL 'berpisah' dengan penaja utama Liga Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak MFL-TM : "Banyak lagi perkara lain boleh dipotong yang tidak buatkan jutaan rakyat terkesan"

"Jumlah tidak akan didedahkan. Itu sebahagian daripada syarat perjanjian kita dengan TM.

"Saya rasa pihak media tidak perlu tahu. Tetapi kita akan maklumkan kepada semua rakan kongsi. Tidak perlu bercakap mengenai perkara yang timbul sebelum ini," ujar Hamidin selepas Majlis Tandatangan Kontrak Tajaan MFL-TM pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Abd Ghani Hassan memberitahu, pihaknya mencuba nasib menjalin kerjasama dengan TM selepas isu sebelum ini.

"TM dengan bola sepak tempatan sudah lama bekerjasama sejak tahun 2000 lagi. Jadi apabila kita approach untuk kembali jadi penaja, TM menyambut baik.

"Jadi kita kena hormat permintaan supaya tidak dedahkan jumlah tajaan, yang penting kerjasama ini adalah sesuatu yang baik," ujarnya kepada media.

Pada Mac tahun lalu, timbul isu MFL akan menyaman TM berhubung isu hak penyiaran, namun MFL menarik balik saman tersebut.

Ia berlaku selepas setahun TM mengesahkan untuk menjadi penaja utama MFL bermula 2018 sehingga 2025 dengan nilai RM480 juta.

Selain itu, kerjasama baharu ini bakal menyaksikan  TM sebagai penaja utama Liga Malaysia (Malaysia League), persaingan bolasepak rasmi Malaysia, serta menetapkan TM sebagai penaja bersama bagi Liga Super, Piala FA, Liga Premier dan Challenge Cup.

Kerjasama ini meliputi hak penyiaran eksklusif dan mobile streaming serta dalam talian bagi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan  Piala Malaysia pada semua platform unifi TV.

Ketua Pegawai Eksekutif TM Multimedia  Moharmustaqeem Mohammed berkata, pihaknya teruja untuk menghidupkan semula kerjasama kami dengan MFL dalam usaha untuk memperbaharui kerjasama dengan MFL.

"TM sebagai penaja acara bola sepak yang paling berterusan di seluruh Asia Tenggara.

"Ini juga satu kebanggaan kerana dapat membangunkan dan membawa perubahan dalam arena bola sepak tempatan. 

"Kami mahu membawakan saat-saat menarik perlawanan bola sepak kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya perlawanan yang melibatkan Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, Liga Super dan Liga Premier yang bersejarah dan paling digemari di negara ini," jelasnya.

MFL, TM, Datuk Hamidin, Datuk Ghani

Artikel Lain