suria

Koronavirus: KBS tidak halang atlet pergi ke China

Syed Saddiq memberitahu KBS tidak akan menghalang mana-mana atlet negara untuk bertanding atau menjalani latihan di China walaupun negara berkenaan sedang berdepan dengan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV). Foto: Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menghalang mana-mana atlet negara untuk bertanding atau menjalani latihan di China walaupun negara berkenaan sedang berdepan dengan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pihak kementerian telah mengeluarkan garis panduan kepada atlet negara berhubung perkara berkenaan dan terpulang kepada atlet tersebut untuk mematuhi garis panduan tersebut.

"Beberapa atlet telah kembali semula (dari China) atas pilihan mereka sendiri, dan kita telah pun menasihati mereka (atlet kebangsaan), namun paling penting untuk kita mengikut ketetapan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kita akan rujuk nasihat Kementerian Kesihatan (sebelum membuat keputusan lanjut)," katanya pada sidang media selepas hadir menyaksikan majlis pengenalan pasukan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Padang Merdeka, Rabu malam.

Lima penerjun negara iaitu Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold, selain dua jurulatih kebangsaan iaitu Li Rui dan Li Teng dilaporkan telah kembali ke tanah air dari Chengdu, China pada 31 Januari lepas.

Juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong pula menjalani latihan bersama bekas jurulatih terjun kebangsaan, Zhang Yuliang di Qinhuangdao dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq tidak menolak kemungkinan saingan LTdL 2021 akan kekal dibawa ke Sabah dan Sarawak, namun menegaskan keputusan muktamad akan diputuskan selepas pihak kementerian mencapai persetujuan dengan penganjur, Human Voyage (M) Sdn Bhd.

Syarikat pengurusan acara berkenaan sebelum ini diberi mandat oleh KBS untuk menganjurkan LTdL dari 2019 sehingga 2021.Kali terakhir saingan LTdL dibawa ke Borneo adalah pada 1997.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berterima kasih kepada KBS yang memilih Sabah sebagai antara laluan perlumbaan LTdL, sekali gus dapat mempamerkan keunikan yang terdapat di Kota Kinabalu.

"Sudah tentunya pemilihan Kota Kinabalu dapat dipromosikan sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan di mana kita (kerajaan negeri) mengalu-alukan program sukan bertaraf antarabangsa seperti LTdL diadakan di sini," jelasnya yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Luyang.

Sebanyak 21 pasukan, termasuk satu pasukan Jelajah Dunia, mengesahkan penyertaan pada edisi ke-25 LTdL yang bermula esok sehingga 15 Feb ini yang melibatkan jarak sejauh 1,114.9 kilometer yang merentasi Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Koronavirus, KBS, Syed Saddiq

Artikel Lain