suria

“Sukan SEA lebih kepada atlet baharu, bukan elit” - Tunku Imran

Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Filipina tahun lalu.

ATLET baharu perlu diberikan peluang mewakili negara pada Sukan SEA, supaya mereka boleh mendapat pendedahan dan kemenangan sebagai batu loncatan memenangi pingat di acara lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Olimpik, kata bekas presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Menyokong cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meningkatkan penyertaan pemenang pingat emas dari Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Universiti untuk Sukan SEA 2021, Tunku Imran berkata, atlet elit perlu menyertai kejohanan lebih tinggi daripada sukan peringkat rantau ini.

Katanya, sasaran sebenar seseorang atlet itu sepatutnya Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik, selain kejohanan Asia dan Dunia dalam sukan masing-masing.

“Sentiasa bagus untuk ada atlet muda di Sukan SEA, mereka akan berusaha dan berlatih dengan terbaik untuknya dan akan belajar lebih lagi daripada mereka yang berpengalaman. Hanya 11 negara mengambil bahagian dalam Sukan SEA dan sebahagiannya hanya disertai empat atau lima negara (jadi saingannya tidak tinggi).

“Saya rasa memenangi pingat emas bukanlah tujuan utama pada Sukan SEA. Ini (mengejar emas) menjadi satu kebiasaan sebab ahli politik dan pemimpin kita sering bercakap mengenai menjadi yang terbaik pada Sukan SEA,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan dana individu SportExcel 2019 pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan pengerusi SportExcel, sebuah badan bukan kerajaan yang telah menyumbang kepada pembangunan altet muda sejak 1992, diminta mengulas keputusan Syed Saddiq untuk menghantar lebih ramai altet muda, demi pembangunan masa hadapan sukan di Malaysia.

Tunku Imran yang juga merupakan pengasas Sukma berkata, pendekatan yang sama juga perlu diambil untuk kejohanan kebangsaan, di mana negeri sepatutnya memfokuskan pembangunan atlet dalam kalangan pelajar berusia 18 tahun ke bawah.

“Sekali lagi ahli politik merasakan pingat emas itu penting, tetapi mereka perlu faham yang membelanjakan dana untuk atlet muda, akan memberikan peluang kepada mereka menguji keupayaan dengan atlet lain. Objektif keseluruhan Sukma ialah membolehkan setiap negeri memulakan program pembangunan pada peringkat akar umbi dan keduanya kita mengubah tempat, bagi membolehkan faksiliti dibina di negeri-negeri.

“Saya selalu katakan, ada atlet yang terlalu bagus untuk bertanding di Sukma kerana mereka akan menang dengan mudah. Jika mereka berlatih di peringkat kebangsaan, negeri perlu lepaskan mereka,” katanya.

Terdahulu, Tunku Imran menyerahkan dana berjumlah RM54,000 kepada 41 atlit muda cemerlang dari sembilan jenis sukan atas prestasi mereka pada 2019, selepas menandatangani perjanjian antara SportExel, Majlis Sukan Negara dan Milo.Sukan terlibat adalah kriket, berbasikal, golf remaja, menembak, skuasy, renang, tenping bowling, tenis dan taekwando.

Artikel Lain