suria

Bola sepak 2019: Malaysia melonjak ke ranking 154 dunia atasi Singapura, Indonesia... skuad Kim Swee gagal ke Olimpik 2020

Kekalahan skuad Kim Swee pada aksi Sukan SEA dianggap pencapaian terburuk skuad B-22 tahun ini.

NAMA Harimau Malaya tetap menjadi sebutan tidak kira apa jua keputusan yang dirakam sepanjang tahun ini.

Kebangkitan pasukan bola sepak kebangsaan dalam tempoh sembilan bulan menyaksikan Malaysia menutup musim 2019 di kedudukan terbaik untuk mencipta sejarah menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 buat kali pertama dalam jangka masa 40 tahun.

Skuad Harimau Malaya berjaya merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan sepanjang tahun ini, sejak muncul naib juara Piala AFF 2018 pada Disember tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tersingkir awal Sukan SEA, Kim Swee enggan salahkan taktikal “Bukan bererti dunia sudah kiamat”

ARTIKEL BERKAITAN: Teong Kim hargai pemain dan penyokong guna #SaveLTK, akui ada bertemu TMJ

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Malaya terus mengaum di Bukit Jalil, Garuda pulang tanpa gol

ARTIKEL BERKAITAN: F:30 realistik, sasar Malaysia jadi lima pasukan terbaik Asia

Malaysia kini berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Pencapaian itu satu rekod cemerlang dilakar pengendali Tan Cheng Hoe, yang dianggap watak penting dalam kebangkitan skuad Harimau Malaya. Dia dianggap seorang yang berani mengambil risiko dalam melengkapkan senarai utama pemain-pemain dalam skuadnya.

Lebih penting, Cheng Hoe seorang yang sentiasa positif dan percaya kepada kelebihan setiap pemain yang dipilih.

Skuad Harimau Malaya tampil dengan aksi memberangsangkan tahun ini.

Ironinya, Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia, dan kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun jika diamati sudah hampir 30 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Namun, kebangkitan Malaysia dibuktikan dengan peningkatan sebanyak 13 anak tangga dalam ranking dunia, daripada kedudukan ke-167 pada Februari melonjak ke posisi ke-154 pada Disember, sekali gus mengatasi dua negara jiran - Singapura (157) dan Indonesia di tangga ke-173.

Misi untuk layak ke Piala Asia 2023 semakin hampir dan ia merupakan objektif utama Peta Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga dikenali sebagai F:30.

Berdasarkan pencapaian membanggakan itu, skuad Harimau Malaya berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran strategik F:30 itu.

Selain itu juga, F:30 turut menyasarkan pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, di samping mengesahkan tempat pada Piala Dunia Bawah B-20 2023 dan Piala Dunia B-17 2021, masing-masing buat skuad B-18 dan B-15 negara.

Cheng Hoe watak penting dalam skuad Harimau Malaya

Turut masih kekal berjuang di landasan strategik F:30 adalah skuad B-18 kendalian Brad Maloney, juara Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, yang merupakan pentas kelayakan ke Piala Dunia B-20 di Indonesia pada 2021.

Skuad B-18 negara mencuri perhatian pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF) 2019 selepas menundukkan pilihan utama, Australia 3-0 dalam saingan Kumpulan B, namun tewas 0-1 kepada lawan sama ketika bertembung di pentas final.

Sinar baharu buat peminat bola sepak negara dengan kemunculan pemain muda antaranya Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Umar Hakeem Suhar Redzuan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Harith Haiqal Adam Afkar bersama skuad B-18 memberi petanda negara tidak ketandusan ‘ubi muda'.

Tugas berat sudah pastinya menanti pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar untuk mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan pada Oktober tahun hadapan sekali gus layak ke Piala Dunia B-20 pada 2021.

Ketika arena bola sepak tanah air bakal menutup tirai musim 2019 dengan pencapaian membanggakan, suasana berbeza pula menimpa skuad B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee yang gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kandas untuk mara ke pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Thailand, Januari depan.

Sehari selepas itu, FAM mengesahkan kontrak Kim Swee yang tamat pada penghujung tahun ini tidak akan disambung.

Turut menjadi perbualan adalah formasi yang digunakan Kim Swee  3:4:3 yang menyebabkan pasukan tersingkir awal.

Luqman Hakim antara pemain muda yang menjadi perhatian tahun ini.

Skuad B-15 negara yang dianggap tidak berdepan laluan sukar mara ke Piala Dunia B-17 2021 pula terkandas di pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-16 sekali gus menyaksikan ketua jurulatih P. Maniam tidak berjaya membawa misi strategik F:30 FAM.

Selain itu, landskap pembangunan akar umbi bakal berubah tahun depan apabila Majlis Sukan Negara (MSN) bakal memperkenalkan tanda harga kepada semua pelatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Berikutan dengan itu, ia menjadi perbualan hangat pada akhir tahun ini di kalangan pengendali bola sepak tempatan serta peminat yang melahirkan pandangan berbeza-beza. 

Turut menjadi perhatian peminat-peminat bola sepak tempatan tahun ini apabila timbul #SaveLTK apabila kontrak Pengarah AMD Lim Teong Kim berakhir 31 Oktober lalu.

Rata-rata peminat mahu Teong Kim kekal dalam program pembangunan bola sepak negara, namun terpaksa akur apabila kontrak bekas pengendali Akademi Bayern Munich itu tidak disambung Majlis Sukan Negara (MSN).

Kontrak bersama Teong Kim yang berakhir 31 Oktober lalu turut menjadi perhatian.

Secara keseluruhan, pencapaian skuad bola sepak negara termasuk pasukan muda belum di tahap memuaskan namun ada perubahan yang baik di pentas antarabangsa.

Namun secara realiti, pengurusan tertinggi bola sepak negara tidak boleh berpuas hati dengan segala pencapaian setakat ini kerana jelasnya bola sepak negara masih jauh ketinggalan dengan negara-negara Asia yang lain.

Apa yang penting, sistem pembangunan bola sepak di setiap negeri perlu lebih diberi perhatian oleh semua pihak berkenaan.

Di atas kertas semua perancangan nampak sempurna, namun secara teknikal ia masih perlu diperhalusi.

Bagi peminat-peminat bola sepak tempatan, harapan besar disandarkan kepada Harimau Malaya pada tahun 2020 kerana rata-ratanya sudah jelak dengan skrip yang sama setiap tahun apabila gagal meraih kemenangan.


Bola Sepak, Gimnastik, e-sukan

Artikel Lain