suria

Stadium Selayang jadi pilihan Selangor II

Stadium Majlis Perbandaran Selayang dijangka menjadi pilihan untuk skuad Selangor II musim depan.

KEWUJUDAN Selangor II bukan sahaja bertujuan untuk menjadi ‘Reserve Team’ tetapi juga menjadi salah satu usaha daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mendekatkan diri lagi dengan penyokong.

Justeru,  Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon sudah membayangkan Selangor II yang sebelum ini merupakan pasukan PKNS FC tidak akan lagi bermain di Stadium Shah Alam pada saingan Liga Premier musim 2020.

Berdasarkan perancangan awal, beliau menjangkakan Selangor II akan bermain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai usaha mendekatkan lagi skuad Merah Kuning itu kepada peminat bola sepak di seluruh Selangor.

Manakala Stadium Shah Alam kekal menjadi gelanggang utama buat Selangor buat masa ini dan berharap lebih ramai peminat The Red Giants akan terus memberikan sokongan.

“Mengenai Selangor II, kami ada berbincang dengan banyak pihak termasuk MFL(Malaysian Football League) yang berikan input serta cadangan hala tuju pasukan ini pada musim depan.

“Kami rasa kena memperkembangkan lagi serta menjangkau pengaruh penyokong kami di destinasi lain serta cuba mendapatkan penyokong baharu di lokasi lain.

“Sekurang-kurangnya masyarakat di sana dapat menikmati bola sepak Selangor dan tidak terlalu tertumpu di sesuatu tempat sahaja seperti mana di Shah Alam.

“Antara calon utama yang kami sedang pertimbang kini ialah Stadium Selayang dengan tujuan cuba dekatkan diri lagi dengan peminat bola sepak Selangor di Gombak, Ampang, Selayang serta kawasan-kawasan di sekitarnya,” katanya.

Pada 13 November lalu, MFL meluluskan permohonan FAS selain Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menukar status PKNS FC dan PKNP FC sebagai Reserve Team.

Bagaimanapun, kelulusan itu secara bersyarat di mana kedua-dua persatuan negeri tersebut harus memenuhi keperluan untuk layak sebagai Reserve Team termasuk aspek kewangan stabil, transisi kontrak PKNS FC dan PKNP FC perlu mengikut peraturan dan kemudahan tempat latihan sebelum status itu berkuatkuasa tahun depan.

Pasukan Selangor dijangka akan menggunakan hampir sepenuhnya produk pemain muda daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia mereka sendiri selain daripada PKNS FC.

Sebelum ini Dr. Johan ada mengatakan platform Liga Premier bakal menjadi pilihan lebih baik buat pemain muda berbanding di Piala Presiden atau Piala Belia kerana faktor persekitaran yang lebih kompetitif dengan adanya pemain import dan senior.

Artikel Berikut

Artikel Lain