suria

Khair Jones kembali ke Melaka United

Khair kembali menyarung jersi Melaka United musim depan.

PEMAIN pertahanan Khair Muhammad Jefri Jones atau mesra dengan panggilan Khair Jones pulang ke pangkuan Melaka United untuk saingan Liga Super musim hadapan selepas bersama pasukan Kuala Lumpur musim ini.

Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) menerusi kenyataan berkata Khair, 30, yang juga bekas pemain kebangsaan tidak asing lagi buat peminat pasukan Hang Tuah kerana menjadi watak penting apabila Melaka United menjulang trofi Liga Premier pada 2016.

"Selamat kembali diucapkan buat beliau. Kepulangan Khair Jones ke Melaka bakal menyaksikan saingan bagi merebut posisi di bahagian pertahanan pasukan musim hadapan," jelas satu kenyataan kelab pada Isnin.

Pemain berdarah kacukan Malaysia dan New Zeland itu menyertai Melaka United pada 2016 daripada kelab Hawke's Bay United di New Zealand dan kekal bersama Melaka United sehingga musim 2018 sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur musim ini.

Khair yang bermain sebagai pertahanan kiri dan mampu beraksi sebagai pertahanan tengah juga telah mengumpul empat caps serta satu gol ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Selain Khair, MUSA juga mengumumkan berjaya mendapatkan tiga lagi pemain berpengalaman iaitu penyerang Muhammad Ferris Danial Mat Nasir, pemain tengah Nurridzuan Abu Hassan dan seorang lagi pemain tengah Khairul Anwar Shahrudin.

Selain itu, dilaporkan bahawa Muhammad Ferris Danial, 27, pernah beraksi bersama Melaka United pada 2016 dan bersama Negeri Sembilan selama dua musim sebelum kembali bersama Melaka United.

Nurridzuan, 27, sebelum ini beraksi bersama Selangor untuk dua musim sebelum menyertai Melaka United, manakala Khairul Anwar, 29, sebelum ini bersama Terengganu FC.

Sementara itu, Presiden Musa Damian Yeo Shen Li berkata Melaka United telah mengesahkan 12 pemain untuk musim hadapan di bawah bimbingan ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan.

"Kami sedang mencari enam ke tujuh lagi pemain termasuk pemain import dan muda,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Melaka United, Khir Jones

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain