suria

Halaman Facebook Fifa 'diserbu' ribuan penyokong Harimau Malaya

Syed Saddiq bersama Ultras Malaya yang hadir di Stadium gelora Bung Karno pada Khamis malam. Foto: AFP

PERLAWANAN antara Malaysia dan Indonesia sentiasa dianggap paling mencabar dengan tingkah laku penyokong-penyokong fanatik negara jiran.

Tindakan ini bukan sahaja dihadapi oleh skuad senior, malah pasukan muda juga pernah menjadi mangsa keganasan mereka, lebih-lebih lagi sekiranya tewas di tangan skuad Malaysia.

Malah kejadian Ultras Malaya diserang dibaling dengan objek besi, botol air dan suar memang sudah dijangka berlaku.

Tambahan pula skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini berjaya meraih kemenangan bermakna 3-2 dalam saingan pertama Kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Dunia 2023.

Susulan dengan itu, bukan sahaja badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melaporkan kes ini ke Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) malah, penyokong-penyokong setia bola sepak negara turut mengambil langkah sama.

Selepas perlawanan itu berakhir, rata-rata peminat bola sepak tempatan terus 'menyerbu' halaman Facebook Fifa melaporkan tindakan penyokong-penyokong tuan rumah itu.

Sejak malam tadi, lebih 1,000 komen ditinggalkan penyokong Malaysia kepada Fifa.

Penyokong-penyokong Harimau Malaya meninggalkan komen kepada Fifa.

Rata-rata pelayar Facebook mahu Fifa mengambil tindakan serius terhadap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Malah ada juga yang berharap badan induk dunia itu terus menggantung penyertaan skuad Indonesia di peringkat antarabangsa.

Insiden tersebut bukan sahaja dihadapi penyokong-penyokong Malaysia yang hadir ke perlawanan tersebut, malah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berdepan dengan situasi getir itu.

"Sebentar tadi saya bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno.

"Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali. Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika. Saya dimaklumkan FAM bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada Fifa.

"Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana. Gangsterism tidak akan ditolak ansur dalam apa jua cara.

"Keselamatan pemain dan penyokong Malaysia adalah keutamaan saya," ujarnya selepas perlawanan semalam.

Terbaharu, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi secara terbuka memohon maaf atas insiden buruk yang tercetus pada pertembungan Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno Khamis malam.

Imam Nahrawi bertemu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menyampaikan permohonan maaf dan rasa kesal atas kekecohan ditimbulkan penyokong tuan rumah itu.

Pertemuan berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Jakarta telah dikongsikan dalam pautan laman Instagram Syed Saddiq pada Jumaat.


Fifa, Harimau Malaya, Indonesia

Artikel Lain