suria

IJCT terima jersi baharu, sedia gegar arena sukan berbasikal

Pasukan Iskandar Johor Cycling Team menerima tajaan jersi baharu.

PASUKAN berbasikal negeri Johor kini dikenali sebagai Iskandar Johor Cycling Team (IJCT) dijangka bakal memberi cabaran kepada pasukan lain.

Penjenamaan baharu pasukan negeri melalui penglibatan peneraju pembangunan Iskandar Malaysia, iaitu Iskandar Investment Berhad (IIB) sebagai penaja utama.

Sempena itu, jersi baharu secara rasminya telah dilancarkan dan diserahkan kepada Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran  A. Rahman yang juga merupakan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor.

Pelancaran jersi baharu berkenaan merupakan simbolik kepada kerjasama yang akan dijalinkan IIB dengan pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam usaha menaikkan profil sukan berbasikal dalam usaha mencungkil bakat-bakat acara sukan ini Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad memberitahu, satu lagi sejarah dilakar menerusi bentuk kerjasama daripada IIB untuk memastikan Johor terus kekal sebagai lubuk pelumba-pelumba basikal bertaraf kebangsaan.

"Ia sekali gus menyumbang kepada penghasilan 'talent pool' pelumba kebangsaan yang lebih besar dengan bantuan yang secukupnya.

"IIB juga akan terus menyokong Iskandar Johor Cycling Team sebagai inisiatif IIB untuk agenda pembangunan komuniti, terutamanya dalam bidang sukan.

“Seiring dengan proses transformasi pasukan kepada arah yang lebih profesional, nama Iskandar Johor Cycling Team juga telah dipersetujui untuk diguna pakai MSNJ bagi kejohanan-kejohanan tempatan dan antarabangsa pada masa hadapan termasuk bentuk sokongan lain yang kini sedang diperbincangkan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, pihak IIB dan MSNJ sedang bekerjasama untuk merealisasikan program pembangunan berbasikal di Iskandar Puteri, Johor.

Ia dianggap sebahagian dari inisiatif 'IP Active' untuk memastikan Iskandar Puteri sebagai destinasi pilihan sukan di selatan tanah air.

Iskandar Johor Cycling Team, dibarisi nama-nama seperti Fakhruazam Hanifiah, Nurfitri AmmarRusli dan Nur Aiman Rusli dijadualkan ke Kejohanan Basikal Tour De Lingga Jati 2019 di Jawa Barat, Indonesia bermula 12 hingga 16 September sebagai langkah pendedahan peringkat antarabangsa yang direncanakan oleh MSNJ.


Basikal, Johor, Pelumba Muda, IJCT

Artikel Lain