suria

Kecewa PSSI mungkir janji, FAM kumpul bukti lapor kepada Fifa dan AFC

Keadaan tegang di stadium selepas perlawanan Malaysia dan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada Khamis malam. Foto: AP

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kecewa dengan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang mungkir janji.

Walaupun Fairplay dan profesionalisme telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara, tetapi perlawanan dicemari oleh insiden di luar padang pada perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Khamis malam.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, FAM menganggap PSSI, melalui pihak berkuasa tempatan gagal menjangka insiden yang telah berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Halaman Facebook Fifa 'diserbu' ribuan penyokong Harimau Malaya

"Justeru itu mereka  gagal mengotakan janji yang diberikan secara umum untuk perlawanan dan juga gagal mengawal sikap penyokong sepanjang pra, semasa dan selepas perlawanan berlangsung sekaligus mencemarkan imej bola sepak Indonesia.

"Memandangkan FAM dan PDRM tidak mempunyai bidang kuasa di Indonesia, kami mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui dua mesyuarat bertarikh 20 Ogos dan 27 Ogos 2019 yang turut dihadiri Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Komisioner Kamarulzaman Maarof, sebagai persiapan langkah keselamatan yang diperlukan untuk  perjalanan penyokong negara.

"Walaupun disediakan polis pengiring dari lapangan terbang ke stadium dan sebaliknya khusus untuk kira-kira 300 penyokong dalam enam bas, keadaan tetap menjadi huru-hara.

Gelagat Sumareh (depan) yang menyumbang gol kemenangan kepada skuad Malaysia. 

"Kami berasa amat kecewa dengan jawatankuasa pengelola tempatan berikutan kegagalan mereka menunaikan janji serta persefahaman yang dicapai," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Stuart lagi, tidak ada tempat dalam sukan bola sepak untuk gejala hooliganisme dan gangsterisme.

"Kami telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan dan sedang mengumpul bukti kukuh bagi melaporkan kejadian semalam (Khamis) kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Bagi penyokong Malaysia yang masih berada di Indonesia, kami mendoakan keselamatan anda di sana dan moga selamat pulang ke Malaysia.

"Terima kasih atas sokongan padu anda terhadap skuad Harimau Malaya dan kami juga menggesa anda untuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia," ujarnya.

Tambah Stuart, ketika kejadian penyokong Malaysia secara umumnya dilihat bertindak balas secara positif malam tadi dan tidak mengikut sebarang provokasi.

"Kami nasihatkan anda untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke negara kita, sama ada peminat Indonesia, UAE, Thailand atau Vietnam  terhadap semua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional nanti."

FAM, PSSI, Fifa, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Lain