suria

Indonesia mohon maaf tindakan penyokong ketika bertemu Malaysia

Polis menahan salah seorang penyokong Indonesia ketika aksi di Stadium Gelora Bung Karno Khamis malam. Foto: AFP

MENTERI Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi secara terbuka memohon maaf atas insiden buruk yang tercetus pada pertembungan Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno Khamis malam.

Imam Nahrawi bertemu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menyampaikan permohonan maaf dan rasa kesal atas kekecohan ditimbulkan penyokong tuan rumah itu.

Pertemuan berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Jakarta telah dikongsikan dalam pautan laman Instagram Syed Saddiq pada Jumaat.

Pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan dramatik 3-2 di hadapan lebih 50,000 penyokong skuad Garuda.

Namun, perlawanan itu tercemar dengan insiden rusuhan penyokong Indonesia yang menceroboh masuk kawasan stadium dan menyerang kawasan tempat duduk penyokong Malaysia selain membaling botol dan pelbagai objek termasuk suar dari tingkat atas kawasan penyokong negara.

Insiden terbabit memaksa pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin menghentikan perlawanan yang pada ketika itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 hampir 10 minit.

Bagaimanapun, selepas keadaan kembali terkawal, tiada sebarang insiden tercetus sehingga wisel penamat yang menyaksikan Malaysia di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe membawa pulang tiga mata berharga.-Bernama

Olahraga, Syed Saddiq, Imam Nahrawi

Artikel Lain