suria

"Jangan salahkan format atau nasib" - Stuart komen isu B-23 gagal ke final Piala AFC

Stuart memberi taklimat perkembangan terkini F:30 kepada media pada Rabu.

KRITIKAN susulan kegagalan pasukan Bawah 23 Tahun ke final Piala AFC B-23 di Thailand tahun depan tidak menjejaskan Pelan Hala Tuju F:30 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam, selepas tersingkir dalaam aksi kelayakan kumpulan minggu lalu, timbul laporan mengenai F:30 ini tidak berkesan dalam perencanaan baharu bola sepak negara.

Jelasnya, F:30 merupakan perancangan jangka panjang FAM.

“Tidak ada yang silap dalam F:30 mengenai keputusan baru-baru ini. Pasukan bermain bagus, begitu juga dengan prestasi.

“Pasukan atau jurulatih akan teruskan usaha seperti yang dirancang.

“Cuma perlawanan kelayakan itu tidak memihak kepada pasukan negara,” ujarnya selepas Sesi Taklimat Media Laporan Pertama Roadmap F:30 pada Rabu.

Tambah Stuart lagi, kegagalan itu juga tidak boleh salahkan kepada format pertandingan (home dan away) mahu pun nasib.

“Kita mungkin tidak ada tuah di tempat sendiri, dan format baharu tidak menyokong kepada keputusan kita.

“Jangan jadikan isu format atau nasib,” katanya.

Pada sesi taklimat media berkenaan, Stuart telah membentangkan secara terperinci perkembangan semasa F:30 dan mendedahkan peratusan terkini sasaran strategik dan perkara tindakan yang telah dibuat bagi pelaksanaan Pelan Strategik 1 dalam tempoh empat tahun pertama (2019-2022).

Secara keseluruhan, peratusan tiga teras utama F:30 untuk Pelan Strategik 1 bagi tempoh tiga bulan pertama iaitu Januari hingga Mac 2019 adalah seperti berikut:

1. Tadbir Urus (kakitangan & polisi) sudah mencecah 23%.

2. Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) sudah mencecah 24%.

3. Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal) sudah mencecah 30%.Bagi merealisasikan Pelan Strategik 1, sebanyak 49 sasaran strategik dengan sejumlah 118 perkara tindakan telah terkandung dalam F:30.

"Berdasarkan laporan pertama yang dibentangkan itu, peratusan perkembangan setiap teras utama yang dicatat memperlihatkan bahawa F:30 masih berada dalam landasan terbaik untuk ia dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Namun, F:30 adalah agenda bola sepak nasional yang memerlukan kerjasama baik daripada semua pihak dan bukan FAM sahaja yang boleh menjayakannya dalam memastikan perkembangan bola sepak Malaysia mencapai ke tahap yang diingini semua.

"Hala tuju ini adalah permulaan terbaik bagi FAM kepada seluruh pemegang taruh bola sepak negara termasuk para penyokong untuk semua mereka dapat memahami arah tuju bola sepak Malaysia dengan lebih jelas.

"FAM akan terus memberikan laporan kedua, ketiga dan seterusnya dari semasa ke semasa bagi memastikan semua di luar sana dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai F:30 ini," ujarnya.

Fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia dan fasa ketiga (2027-2030) bertujuan untuk melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.

Stuart Ramalingam, F:30

Artikel Lain