suria

Jawab surat tunjuk sebab, Hodak diberi tempoh hingga Jumaat ini - FAM

Hodak (tengah) ketika menjalani latihan skuad remaja negara sebelum ini. Foto kredit: FAM

KETUA Jurulatih Bawah 19 Tahun Negara, Bojan Hodak mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk membalas surat tunjuk sebab yang dihantar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengendali dari Croatia itu diberi surat berkenaan selepas dia mengkritik sistem bola sepak Malaysia selepas kekalahan peringkat kumpulan pada Kejohanan Piala Sanix di Jepun bulan lalu .

Menurut Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam, setakat ini, kes jurulatih Hodak dianggap sebagai adalah isu dalaman staf sahaja.

Artikel berkaitan: Kenyataan tak bertanggungjawab! Hodak bakal terima surat tunjuk sebab - FAM

“Kami hanya minta dia menjawab surat tunjuk sebab sahaja, dan ia tidak ada kena mengena dengan isu kontrak atau prestasi pasukan.

“Dia perlu menjawab kenapa atau bila komen-komen itu dibuat dan selepas itu ia akan dibincangkan secara dalaman.

“Selepas mendapat penjelasannya, kami akan membawa ke mesyuarat dan keputusan (mengenai tindakan) akan diputuskan,” ujarnya kepada wartawan selepas Sesi Taklimat Media Laporan Pertama Roadmap F:30 pada Rabu.

Ditanya kemungkinan Hodak akan digantung jawatan seperti mana tiga bekas jurulatih kebangsaan sebelum ini, B. Sathianathan, Datuk K.Rajagobal dan Dollah Salleh yang mengkritik bola sepak negara, Stuart memberitahu pihaknya perlu melihat dahulu bentuk komen yang dibuat Hodak.

“Saya masih belum bertugas di FAM ketika jurulatih-jurulatih itu dikenakan hukuman berdasarkan melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM. 

“Buat masa sekarang saya tidak boleh beritahu apa-apa keputusan terhadap Hodak,” tambahnya.

Stuart Ramalingam, Bojan Hodak

Artikel Lain