The Cops selamatkan 'periuk nasi' tiga pemain Perlis - Sukan | mStar

The Cops selamatkan 'periuk nasi' tiga pemain Perlis

Azmizi (kanan) sempat beraksi untuk Perlis bagi saingan Liga Perdana awal musim ini sebelum disingkir dari Liga Malaysia. -foto Bernama

AZMIZI Azmi lega akhirnya dapat kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia musim ini selepas dia dan dua lagi rakannya dari pasukan Perlis 'lulus' untuk menyertai pasukan PDRM.

Pemain pertahanan itu sebelum ini menyarung jersi Perlis, namun pasukan itu terpaksa disingkir dari Liga Malaysia selepas dibelenggu masalah gaji.

Sejurus itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memberi tempoh lanjutan pendaftaran 30 hari kepada semua pemain Perlis untuk mencari pasukan baharu.

Selain Azmizi, dua lagi pemain Perlis yang berjaya menarik jurulatih baharu The Cops E.Elavarasan adalah penjaga gol Shahril Saari serta pemain tengah Shukor Azmi.

“Terima kasih PDRM, terima kasih MFL… saya pun tidak jangka akan dapat bermain lagi pada musim ini sebaik Perlis telah dibatalkan penyertaan.

“Namun syarat 30 hari itu benar-benar membantu kerana bukan senang hendak dapatkan pasukan baharu dalam situasi sebegini.

“Saya tidak mahu berjanji apa-apa kepada PDRM tetapi sudah tentu mahu bantu mereka dapatkan keputusan lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya kepada kepada media pada Isnin.


Shahril turut menyertai PDRM musim ini.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar memberitahu kemasukan tiga pemain itu bukan mudah kerana ia mengambil kira pandangan jurulatih yang merupakan pengendali baharu PDRM.

Justeru beliau turut meluahkan penghargaan kepada MFL kerana memberikan ruang kepada mereka menyelamatkan karier pemain-pemain Perlis serta menampung kekurangan dimiliki skuad PDRM.

“Terima kasih kerana bagi peluang kepada kami selamatkan periuk nasi pemain selepas apa yang terjadi kepada Perlis selain membantu perbaiki masalah pasukan kami.

“Tempoh 30 hari yang diberikan MFL bagi saya amat baik sekali kerana ia berikan kami ruang yang cukup sebelum buat keputusan ambil ketiga-tiga pemain ini.

“Saya percaya kehadiran Shahril terutamanya yang telah beraksi ketika menentang UKM selain Azmizi bakal berikan impak yang besar di bahagian pertahanan nanti, ” katanya.

Artikel berkaitan: Selamat tinggal Perlis! MFL batalkan penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia

Untuk rekod, MFL pada 20 Februari lalu membatalkan penyertaan Perlis berkuatkuasa serta merta dalam semua pertandingan Liga Malaysia ekoran pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh dari segi struktur kewangan sehingga penghujung musim ini.

Keputusan itu dicapai selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meneliti dokumen kewangan yang diserah Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak mencukupi untuk bersaing sepanjang Liga Malaysia musim ini.

Namun, Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju beri kelonggaran kepada pemain Perlis mencari pasukan baharu selama 30 hari sejak 20 Februari sebagai tanda prihatin akan masalah mereka mendapat pasukan di saat akhir.

Azmizi Azmi , Perlis , PDRM

Artikel Lain