suria

Selamat tinggal Perlis! MFL batalkan penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan pasukan Perlis dalam Liga Malaysia musim ini berkuatkuasa pada Rabu.

Keputusan itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara untuk menyingkirkan Perlis selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan bagi terus bertahan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata, keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Perlis dibuat selepas mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas tarikh akhir Isnin lalu (18 Februari 2019).

Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Jelas Kevin, MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya untuk Perlis mengatasi masalah kewangan mereka dan akhirnya satu keputusan perlu dibuat bagi memastikan ia tidak memberi kesan lebih buruk kepada pemain-pemain dan Liga Malaysia itu sendiri.

"Selepas mengambil kira segala aspek, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara untuk membatalkan penyertaan Perlis pada Liga Premier musim ini.

"Faktor utama keputusan pembatalan Perlis bermain Liga Premier musim ini disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancangan kewangan yang menyakinkan untuk mereka terus bertahan.

"Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumkan dahulu keputusan melibatkan Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak.

Ahli Lembaga Pengarah kini sedang menilai kes enam lagi pasukan itu dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat.

"Dengan keputusan ini, kami prihatin dengan kemelut yang bakal dihadapi pemain Perlis. Justeru itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain-pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini bagi memberikan ruang kepada mereka mencari pasukan baharu memandangkan tempoh pendaftaran pemain akan ditutup pada jam 11.59 malam ini," katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Terdahulu, Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat Mifa dalam Liga Premier selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke unifi Liga Super susulan penarikan diri Felcra FC.

Pemilihan Perlis itu dibuat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka permohonan kepada pasukan berminat dan akhirnya mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan menjadi faktor pemilihan Perlis untuk bermain dalam Liga Premier musim ini.

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan MFL telah membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari menyelesaikan masalah tunggakan gaji sementara MFL menyekat geran tahunan mereka pada 28 Disember lalu.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie telah diminta menyerahkan segala bukti dokumen kedudukan kewangan mereka sebelum 15 Februari lalu namun maklumat diberikan tidak cukup dan PFA diberikan tempoh 48 jam lagi untuk menyerahkan dokumen tambahan itu.

Perlis, MFL

Artikel Lain